Sabtu, 6 Februari 2021 | 9:43am
Jurgen Klopp (kiri) dan Pep Guardiola bakal buat perhitungan di Anfield. - Foto ihsan Liverpool FC.
Jurgen Klopp (kiri) dan Pep Guardiola bakal buat perhitungan di Anfield. - Foto ihsan Liverpool FC.

Mampukah Liverpool bangkit mengatasi City?

KOLUM APA KATA EPL

Dua 'kejadian' mencuri tumpuan pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada pertengahan minggu ini. Dan impak yang dihadirkan jelas amat dirasai bukan saja kepada cabaran pasukan, malah emosi penyokong mereka termasuk di Malaysia.

Dan kebetulan ia membabitkan dua gergasi seteru ketat - Manchester United dan Liverpool.

Pertama, membabitkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solksjaer yang mencipta kemenangan di luar dugaan ke atas Southampton di Old Trafford apabila menang 9-0.

Kenduri gol itu bukan saja memastikan mereka kekal di tangga kedua liga, malah dilihat bangkit luar biasa selepas dimalukan Sheffield 1-2 dan diikat Arsenal dalam dua aksi awal. Kehilangan lima mata berharga itu menjejaskan peluang mereka mencabar Manchester City di puncak.

Kejadian kedua pula, membabitkan penyandang juara, Liverpool yang dilihat kembali goyah selepas diaibkan Brighton 1-0 di Anfield. Keputusan itu menyebabkan The Reds ketinggalan tujuh mata di belakang City dan turun ke tangga keempat liga dengan 40 mata.

Sebelum itu, skuad Jurgen Klopp dilihat mula mempamerkan kebangkitan menyakinkan apabila membenam Tottenham 3-1 dan West Ham 3-1 selepas gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terdahulu termasuk diaibkan Burnley 1-0.

Bagaimana pula hujung minggu ini? Mampukah City dan United meneruskan rentak kemenangan manakala Liverpool melakukan kebangkitan kedua? Ini sudah pasti menarik untuk kita saksikan kerana kebetulan City dan The Reds akan membuat perhitungan sesama sendiri.

Pertembungan dua kelab gergasi itu akan berlangsung di Anfield tengah malam esok dan sudah pasti amat dinantikan penyokong kedua-dua pasukan. Ketika ini penyokong City dilihat bagaikan di awangan selepas gah di puncak liga dengan kelebihan tiga mata di depan United.

Sebaliknya, buat penyokong Liverpool, kekecewaan jelas amat terasa kerana pasukan kesayangan semakin tercicir selepas dimalukan pasukan kerdil Brighton. Harapan untuk menyaksikan Klopp mempertahankan gelaran kelihatannya kian tergugat.

Apapun bagi penulis, keputusan perlawanan ini bakal menjadi turning point atau titik permulaan kepada perjuangan kedua-dua pasukan. Andai menang, City akan meningggalkan Liverpool dengan kelebihan 10 mata selain kurang satu aksi. Peluang untuk menjadi juara nampak cerah.

Sebaliknya, jika Liverpool pula menang, pasukan ini akan menghidupkan kembali peluang mempertahankan kejuaraan. Mereka akan hanya ketinggalan empat mata dan kekal terus merapati United. Namun jika tewas, The Reds boleh melupakanlah terus trofi kejuaraan EPL itu.

Bagaimanana peluang kedua-dua pasukan dalam aksi ini? Melihat kepada prestasi semasa, City jelas berada di atas Liverpool. Pep Guardiola dijangka mampu menang kerana skuad Klopp bukan lagi yang terbaik akibat masalah kecederaan. Mereka terikat 1-1 di Etihad sebelum ini.

Dalam pada itu, United pula dijangka berdepan cabaran sengit apabila menyambut kunjungan jiran Liverpool di Merseyside iaitu Everton. Pada aksi pertama di Goodison Park, United menang 3-1 sekali gus menyuntik lagi motivasi mereka untuk merakamkan satu lagi kemenangan pagi esok. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini
Aston Villa 1-2 Arsenal
Burnley 0-2 Brighton
Newcastle 2-1 Southampton
Fulham 1-3 West Ham
Man United 2-0 Everton
Tottenham 2-0 West Brom
Wolves 1-3 Leicester
Liverpool 1-2 Man City
Sheffield 1-3 Chelsea
Leeds 2-0 Crystal l Palace

Berita Harian X