Selasa, 2 Februari 2021 | 8:08pm
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola dalam satu aksi EPl sebelum ini. - Foto ihsan The Mirror.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola dalam satu aksi EPl sebelum ini. - Foto ihsan The Mirror.

City, United, Liverpool kian terasa bahang

KOLUM APA KATA EPL

Seperti dijangka, Manchester City terus mengekalkan cengkaman persada liga dengan kemenangan ke atas Sheffield United hujung minggu lalu. Bagaimanapun, skuad Pep Guardiola terpaksa bergelut sebelum dapat mengatasi pasukan tercorot liga itu 1-0 di laman sendiri.

City kini mendahului pesaing terdekat yang juga jirannya, Manchester United dengan kelebihan tiga mata selepas menghimpun 44 mata dalam 20 aksi, namun masih kelebihan satu perlawanan. United gagal mengutip mata penuh selepas terikat 0-0 dengan Arsenal di Emirates.

Juara bertahan, Liverpool pula terus mengaum apabila menang 3-1 ke atas West Ham di London untuk melonjak ke tangga ketiga liga dengan himpunan 40 mata. Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut The Reds selepas membenam Totteham 3-1 di laman lawannya itu.

Leicester yang dilihat berpeluang memintas United di tempat kedua minggu lalu, bagaimanapun tewas 1-3 kepada Leeds di laman sendiri. Dalam masa sama, Chelsea yang dibimbing Thomas Tuchel mencatatkan kemenangan pertama menewaskan Burnley 2-0 di Stamford Bridge.

Bagaimana pula saingan bagi pertengahan minggu ini? Mampukah City dan Liverpool mengekalkan rentak kemenangan manakala United kembali meraih mata penuh ketika saingan tiga tempat teratas liga mula membahang.

Bagi aksi pertengahan minggu ini, skuad Guardiola akan berkunjung ke Turf Moor bertemu Burnley pada pagi Khamis. Berdasarkan prestasi semasa, City dijangka mampu membawa pulang tiga mata. Dan sama ada kalah atau seri, mereka tetap akan kekal di puncak.

United pula seharusnya mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Southampton. Prestasi lawannya itu kebelakangan ini semakin merosot, dengan aksi terakhir dikejutkan Aston Villa 0-1 di laman sendiri. Andai tewas, United dijangka tergelincir ke tangga keempat.

Liverpool akan menjadi tuan rumah kepada Brighton pada awal pagi Khamis ini. Jika melihat kepada kejayaan membenam West Ham, The Reds dilihat mampu mengecewakan Brighton yang terdahulu mengejutkan Tottenham.

Dalam pada itu, aksi tumpuan minggu ini sudah pasti antara dua jiran tetangga di London iaitu Tottenham dan Chelsea, pada awal pagi Jumaat. Sebelum aksi ini, kedua-dua pasukan masing-masing mengumpul 33 mata untuk menduduki tangga keenam dan ketujuh liga.

Bagi skuad Jose Mourinho kemenangan ini sangat didambakan mereka selepas dua kali berturut-turut tercicir mata sehingga menjejaskan peluang bersaing dalam perebutan empat tempat teratas.

Chelsea pula yang dibimbing Tuchel selepas penyingkiran Frank Lampard seminggu lalu, juga tiada pilihan kecuali terus mencatat kemenangan selepas tercicir dari tiga tempat teratas gara-gara prestasi merudum.

Kejayaan mengatasi Burnley seharusnya menjadi mendorong Tuchel untuk terus memberi nafas baru kepada The Blues tatkala Mourinho kini diburu resah gara-gara kecederaan kaptennya, Harry Kane. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Sheffield 1-1 West Brom

Wolves 1-2 Arsenal

Man United 3-2 Southampton

Newcastle 2-1 C Palace

Burnley 0-4 Man City

Fulham 1-2 Leicester

Leeds 2-0 Everton

Aston Villa 1-1 West Ham

Liverpool 2-0 Brighton

Tottenham 0-2 Chelsea

Berita Harian X