Isnin, 1 Februari 2021 | 8:03pm
 Azman Mastar (tengah) bersama David (dua kanan) dan Lokman (kanan) dan wakil Jabatan Pendidikan Sabah selepas perbincangan program pembangunan bola sepak secara persidangan video dengan MSN di Kota Kinabalu. - Foto ihsan SAFA
Azman Mastar (tengah) bersama David (dua kanan) dan Lokman (kanan) dan wakil Jabatan Pendidikan Sabah selepas perbincangan program pembangunan bola sepak secara persidangan video dengan MSN di Kota Kinabalu. - Foto ihsan SAFA

SAFA, MSN, Jabatan Pendidikan Sabah jalin kerjasama

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Pendidikan Sabah bagi melaksanakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.

Sebagai permulaan, satu perbincangan di antara ketiga-tiga pihak diadakan secara persidangan video pagi tadi yang antara lain menyentuh mengenai langkah awal pelaksanaan program berkenaan.

SAFA diwakili Penolong Setiausaha Agungnya, Azman Mastar; Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim.

MSN pula diwakili Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Mohd Safrushahar Yusoff; Ketua Cawangan Khas MSN, Shukri Harun dan Pengurus Besar Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Mohd Yusuf Ibrahim. Jabatan Pendidikan Sabah pula diwakili Pengarah Unit Sukannya, Muhimuan Moksin.

Azman ketika ditemui, di sini berkata, kerjasama itu akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara SAFA dan MSN agar perancangan program pembangunan bola sepak di Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya.

"Kita menjangkakan MoU itu akan dapat dimeterai dengan MSN dalam sedikit masa lagi yang mana SAFA akan diwakili oleh Pemangku Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin," katanya.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata kepemimpinan baharu SAFA akan terus melakukan perancangan terbaik sejajar hala tuju pemangku presiden yang mahu perubahan dilakukan demi kemajuan bola sepak Sabah.

Beliau berkata, pihaknya sangat berpuas hati dan menghargai kerjasama MSN dalam menjayakan program pembangunan bola sepak Sabah yang digariskan SAFA.

"Ia satu petanda positif ke arah kerjasama yang lebih kukuh di antara SAFA dengan MSN dan Jabatan Pendidikan dalam usaha membangunkan sukan bola sepak di negeri ini," katanya.

Azman berkata kerjasama itu meliputi usaha untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan peringkat remaja dan kanak-kanak di samping mengenal pasti bakat baharu dalam sukan bola sepak.

Bagi SAFA sendiri, katanya kerjasama erat dengan MSN dan Jabatan Pendidikan juga penting sebagai persiapan untuk mewujudkan Akademi Bolasepak SAFA.

"Melalui pertandingan yang dirancang bersama SAFA dan MSN nanti, kita boleh mengenal pasti pemain elit menerusi kategori umur 15 tahun dan 17 tahun ke bawah untuk diserapkan dalam akademi itu.

"Kita juga mencadangkan supaya akademi itu menggunakan nama Datuk Seri Bung Moktar Radin," katanya.

Berita Harian X