Khamis, 28 Januari 2021 | 10:49pm
Rakaman gambar dari Instagram Ronaldo (depan) bersama kekasihnya, Georgina Rodriguez ketika berada di Courmayeur. - Foto ihsan Republic World.
Rakaman gambar dari Instagram Ronaldo (depan) bersama kekasihnya, Georgina Rodriguez ketika berada di Courmayeur. - Foto ihsan Republic World.

Ronaldo didakwa langgar sekatan perjalanan bersama kekasih

ROM: Cristiano Ronaldo melanggar sekatan perjalanan COVID-19 dengan berkunjung ke sebuah resort pergunungan, menurut laporan media pada hari ini.

Ronaldo yang juga penyerang Juventus didakwa melakukan perjalanan ke Courmayeur, iaitu kira-kira 150 kilometer di barat laut dari markas kelab Serie A berkenaan, untuk sambutan ulang tahun kekasihnya, Georgina Rodriguez.

Ketika dihubungi AFP, Juve enggan memberikan sebarang komen.

Rodriguez yang berusia 27 tahun pada Rabu lalu, menyiarkan video pasangan itu di atas kenderaan ski di Instagram. Dia kemudian memadamnya, tetapi ia sudah diambil oleh beberapa laman berita Itali.

Akhbar Gazzetta dello Sport mendakwa Ronaldo dan Rodriguez menghabiskan malam Selasa di sebuah hotel sebelum kembali ke Turin.

Mengikut peraturan COVID-19 Itali, pasangan itu sepatutnya tidak boleh meninggalkan bandar Turin. Mereka berisiko didenda 400 euro (kira-kira RM1,963) setiap seorang.

Pemain bola sepak berusia 35 tahun itu pernah terbabit dalam kontroversi berkaitan COVID-19 sebelum ini.

- AFP

Berita Harian X