Sabtu, 23 Januari 2021 | 10:33pm
Pertahanan Arsenal, Kieran Tierney cuba menyelamatkan kubunya ketika aksi pusingan keempat Piala FA menentang Southampton di St Mary’s Stadium. - Foto AFP
Pertahanan Arsenal, Kieran Tierney cuba menyelamatkan kubunya ketika aksi pusingan keempat Piala FA menentang Southampton di St Mary’s Stadium. - Foto AFP

Arsenal 'menangis' di St Mary's

SOUTHAMPTON: Penyandang juara, Arsenal tersingkir di pusingan keempat Piala FA selepas tewas 1-0, gara-gara gol sendiri ketika menentang Southampton pada pusingan keempat, sebentar tadi.

The Saints yang tampak lebih bertenaga berhak beroleh gol selepas dibantu Gabriel yang menampan masuk hantaran lintang Kyle Walker-Peters pada minit ke-24.

Skuad bimbingan Mikel Arteta turun tanpa penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain tengah, Emile Smith Rowe sementara Bukayo Saka hanya dimasukkan pada babak kedua.

Situasi itu menyaksikan The Gunners bolos buat kali pertama dalam tempoh 508 minit yang juga menjadi kekalahan pertama mereka dalam tujuh perlawanan.

Southampton akan bertemu Wolves di pusingan seterusnya dan kini menyasarkan untuk mara lebih jauh selepas Wolves bergelut dengan masalah prestasi dan menang tipis 1-0 ke atas Chorley, awal pagi tadi.

Southampton juga nyaris beroleh gol menerusi Che Adams namun diselamatkan Bernd Leno sebelum percubaan James Ward-Prowse daripada sepakan sudut melewati palang.

Arsenal gagal mengancam kubu tuan rumah pada babak pertama namun tampil lebih garang pada babak kedua yang menyaksikan percubaan Eddie Nketiah yang terbias diselamatkan Fraser Forster pada minit ke-67. - Agensi

Berita Harian X