Selasa, 19 Januari 2021 | 6:01pm
Hamidin (tiga kiri) mengucapkan terima kasih kepada Reezal (empat kiri) kerana benarkan skuad Harimau Malaya berlatih.
Hamidin (tiga kiri) mengucapkan terima kasih kepada Reezal (empat kiri) kerana benarkan skuad Harimau Malaya berlatih.

FAM ucap terima kasih kepada Reezal

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuat perancangan teliti membabitkan persediaan kem latihan pusat skuad kebangsaan selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Justeru, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu akan segera melakukan gerak kerja untuk mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit antaranya Majlis Sukan Negara (MSN) dan kelab Liga Malaysia (Liga M) bagi tujuan penyediaan venue latihan dan pelepasan pemain.

"Pertama sekali, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Reezal Merican yang cukup prihatin dengan isu membabitkan skuad Harimau Malaya ini dan beliau juga sentiasa berusaha untuk memastikan kita dapat kembali berlatih bagi mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.

"Dengan mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan yang cukup teliti terutama dalam mendapatkan persetujuan daripada MSN terutama dari segi tempat tinggal dan juga kemudahan padang latihan sebelum dapat membuat ketetapan bagi tarikh kem latihan pusat ini untuk diadakan.

"Banyak perkara lain yang turut perlu dipertimbangkan antaranya pelepasan pemain memandangkan kelab Liga M juga dalam persiapan menjelang sepak mula Liga Super dan Liga Perdana 2021 pada penghujung Februari.

"Kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini," kata Hamidin.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini terpaksa membatalkan kem latihan pusat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang sepatutnya berlangsung dari 16 hingga 25 Januari selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri di semenanjung termasuk Kuala Lumpur dan Selangor bermula 13 Januari.

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan keenam dan ketujuh Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 Mac di tempat lawan dan menentang Vietnam pada 30 Mac di gelanggang sendiri.

Berita Harian X