Khamis, 14 Januari 2021 | 2:19pm
Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad ketuai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM.
Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad ketuai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM.

17 kerusi FAM dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penggal baharu 2021-2025 sudah dibuka yang menyaksikan sebanyak 17 kerusi diperuntukkan untuk 'direbut'.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata 17 kerusi terbabit adalah seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Exco termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas untuk wanita.

"Mengikut Artikel 27 (4) Statut FAM, calon yang ingin bertanding jawatan Presiden memerlukan minimum enam pencalonan daripada ahli gabungan FAM manakala jawatan Timbalan Presiden memerlukan minimum lima pencalonan.

"Jawatan Naib Presiden memerlukan minimum empat pencalonan manakala jawatan Exco memerlukan minimum dua pencalonan.

"Borang pencalonan yang sudah diedarkan perlu diisi dengan lengkap nama-nama calon bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Exco, masing-masing oleh setiap 20 ahli gabungan FAM selewat-lewatnya jam 5.30 petang pada Khamis, 11 Februari 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang bermesyuarat kali terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selasa lalu sudah meluluskan Kod Pemilihan FAM bagi proses pelaksanaan pemilihan penggal baharu itu.

Mesyuarat turut bersetuju dengan penetapan tarikh Kongres FAM Ke-57 iaitu pada 13 Mac 2021 di Hilton Petaling Jaya yang mana pemilihan bagi jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 itu akan diadakan pada kongres terbabit.

Buat pertama kalinya, proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM iaitu sebuah jawatankuasa bebas yang pembentukannya sudah diluluskan pada Kongres FAM Ke-56, tahun lalu.

Selain Abdullah selaku pengerusi, Jawatankuasa Pemilihan FAM ini turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN); Datuk Ab Jalil Abdullah, bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Kedah, Salleh Ramli serta Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Fong Wan Hor.

Berita Harian X