Khamis, 24 Disember 2020 | 12:45pm
Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada bekas pemain Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang diwakili oleh Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria. - Foto NSTP
Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada bekas pemain Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang diwakili oleh Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria. - Foto NSTP

Sabah FC akan distruktur semula

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan pengurusan Sabah Football Club (Sabah FC) juga akan distruktur semula.

Bung Moktar memaklumkan penstrukturan semula pengurusan Sabah FC itu pada majlis makan malam untuk pemain Sabah FC dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA, di sini, malam tadi.

"Ia dalam proses dan sudah tentu langkah itu akan memberi kebaikan kepada pasukan," kata Bung Moktar.

Sebelum ini, ura-ura berkenaan perubahan dalam pengurusan Sabah FC timbul berdasarkan kenyataan bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Verdon Bahanda ketika mengumumkan peletakan jawatannya.

Verdon dilaporkan berkata ada bertemu dengan Bung Moktar dan beliau dimaklumkan mengenai rancangan untuk menstruktur semula pengurusan Sabah FC.

Tindakan itu dipercayai antara sebab Verdon yang juga pemilik Sabah FC melepaskan jawatan dan menjual semula pemilikannya dalam Sabah FC Sdn Bhd kepada SAFA.

Awal bulan ini, Verdon mengumumkan beliau adalah pemilik baharu Sabah FC selepas mengambil alih 70 peratus saham daripada SAFA.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mengingatkan pemain senior dalam Sabah FC supaya meneruskan semangat juang tinggi dalam saingan Liga Super musim depan.

"Sukan bola sepak ini sangat digemari rakyat di luar sana dan mereka mengharapkan pasukan kita melakukan pencapaian terbaik.

"Pemain mestilah menunjukkan semangat tinggi untuk membawa kejayaan kepada pasukan," katanya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Pada majlis itu, Bung Moktar turut menyerahkan bantuan sebanyak RM300,000 untuk kos rawatan bekas pemain Sabah dan Sarawak, Bobby Chua yang kini menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS).

Berita Harian X