Selasa, 22 Disember 2020 | 11:22am
HAMIDIN Mohd Ami
HAMIDIN Mohd Ami

Pendekatan Hamidin wajar diberi pujian

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berpendapat bekerja keras di belakang tabir tanpa berkongsi atau mendedahkan semua perkara adalah satu pendekatan yang seharusnya dipuji.

Sivasundaram berkata demikian susulan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan beliau sentiasa bertanggungjawab dalam memperjuangkan nasib bola sepak tempatan ketika berdepan detik sukar pandemik COVID-19.

Terdahulu, Hamidin yang juga juga Presiden Liga Bolasepak Maaysia (MFL) mendedahkan beliau menyedari ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan badan induk persatuan bola sepak negara itu yang dilihat sekadar pasif untuk memperjuangkan liga tempatan.

Mengulas lanjut, Sivasundaram menegaskan beliau cukup mengenali Hamidin yang lebih gemar bekerja keras di belakang tabir kerana beliau sangat berhati-hati membuat kenyataan dikhuatiri bimbang tidak menjaga sensiviti mana-mana pihak.

"Kadang-kadang, jika kita tidak ada sesuatu di laman sosial berkenaan mesyuarat atau kegiatan itu, tak bermakna kita langsung tidak buat kerja. Saya fikir untuk kita berkongsi sesuatu perkara ada batasannya dan ini mungkin disebabkan ada implikasi tertentu yang perlu diambil kira.

"Tidak dapat dinafikan penggunaan media sosial sudah menjadi keutamaan dalam masyarakat hari ini tetapi seperti saya katakan tadi, ada perkara kita boleh berkongsi, kita kongsi dan atau perkara tertentu, lebih baik diam sahaja," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sivasundaram sendiri menegaskan beliau menjadi saksi di mana Hamidin sentiasa bekerja keras di belakang tabir biarpun sosok yang pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu maklum perihal berhubung kritikan mengatakan beliau lebih gemar mendiamkan diri.

"Selaku individu yang berada dalam badan induk, saya sendiri menyaksikan perjalanan yang cukup konsisten.

"Malah kami selalu bertemu dan bermesyuarat dengan pelbagai pihak terutama dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menyampaikan hasrat FAM kepada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Malaysia (MKN).

"Ini adalah waktu sukar buat bola sepak terutama kepada Datuk Hamidin sebagai presiden ketujuh mentadbir bola sepak. Namun bagi yang benar-benar mengenali Datuk Presiden pastinya turut bersimpati kerana mengetahui betapa komited beliau dalam kerjanya.

"Bagi saya, usaha dibelakang tabir ini terbukti berkesan kerana musim Liga Malaysia diteruskan dan kini 10 peratus penonton dibenarkan meskipun Piala Malaysia terpaksa dibatalkan," katanya.

Berita Harian X