Isnin, 14 Disember 2020 | 3:36pm
SAFA hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku presiden persatuan itu. - NSTP/Aswadi Alias
SAFA hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku presiden persatuan itu. - NSTP/Aswadi Alias

Bung Moktar pangku jawatan presiden SAFA

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku presiden persatuan itu.

Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan berkata pelantikan Bung Moktar juga mendapat persetujuan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Beliau mengumumkan perkembangan terbaru kepemimpinan SAFA itu selepas mesyuarat tergempar Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA, di sini, hari ini.

"Kami sebulat suara memberi kepercayaan kepada Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah untuk memimpin badan bola sepak ini, dan beliau juga sudah menyatakan persetujuan dengan pelantikan itu," katanya.

Jawatan Presiden SAFA sebelum ini kosong berikutan peletakan jawatan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang mengambil alih kepemimpinan SAFA pada 2018.

Abdul Rahman berkata, mereka yakin Ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah individu paling layak dan sesuai untuk memimpin SAFA sehingga mesyuarat agung pemilihan pada awal 2022.

Timbalan SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria (duduk tengah) pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi SAFA berkaitan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku Presiden SAFA di Kota Kinabalu. - NSTP/Yun Mikail
Timbalan SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria (duduk tengah) pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi SAFA berkaitan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku Presiden SAFA di Kota Kinabalu. - NSTP/Yun Mikail

"Kami barisan AMT akan memberi sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada beliau (Bung Moktar) untuk menerajui SAFA demi kemajuan bola sepak di negeri ini," katanya.

Beliau yakin Bung Moktar mampu memimpin persatuan itu dengan baik ke arah menaikkan lagi imej sukan bola sepak di Sabah.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan pengalaman Bung Moktar sebelum ini yang pernah terbabit dalam pembentukan kelab FELCRA Football Club (FC) dalam saingan Liga Malaysia.

"Kita sedar dan tahu, beliau memiliki pengetahuan dalam soal berkaitan bola sepak. Ini sudah tentu akan membantu SAFA untuk berfungsi dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X