Isnin, 30 November 2020 | 11:36am
Diego Maradona bersama doktor yang melakukan pembedahan membuang ketulan darah beku di otaknya, Leopoldo Luque. - Foto AFP
Diego Maradona bersama doktor yang melakukan pembedahan membuang ketulan darah beku di otaknya, Leopoldo Luque. - Foto AFP

Doktor Maradona jelas situasi sebenar

BUENOS AIRES: Pakar bedah Diego Maradona yang disiasat berkata "dia melakukan apa yang terdaya, termasuk perkara mustahil" untuk seorang pesakit "yang sukar diuruskan".

Pihak pendakwa raya di San Isidro berkata, mereka sedang menyiasat Leopoldo Luque manakala televisyen Argentina menayangkan pihak polis menggeledah kediaman doktor berkenaan.

Kenyataan daripada pejabat pendakwa raya berkata, mereka sedang menganalisis bahan-bahan yang dikumpul dan menjelaskan "belum ada keputusan dibuat berkaitan mereka yang terbabit".

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung Rabu lalu, di rumahnya di pinggir bandar Buenos Aires.

Doktor peribadi Maradona itu sedang disiasat kemungkinan melakukan pembunuhan secara tidak sengaja susulan kematian legenda bola sepak itu.

Siasatan dijalankan selepas anak perempuan Maradona, Dalma, Gianinna dan Jana mempersoalkan rawatan berkaitan masalah jantung ke atas bapa mereka di kediamannya di Tigre.

"Siasatan masih berjalan, kami menyoal beberapa orang saksi termasuk ahli keluarga Maradona.

"Klinik menyarankan dia dimasukkan ke hospital lain, tetapi keluarga memutuskan sebaliknya.

"Anak perempuannya menandatangani surat kebenaran keluar dari hospital," kata salah seorang ahli keluarga yang enggan didedahkan namanya.

Pada hari yang sama, Luque, mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan siasatan terhadapnya.

"Anda ingin tahu apa yang saya lakukan? Saya menyayanginya, menjaganya, melanjutkan usianya, menjadikannya lebih baik sehingga ke akhir.

"Dia sepatutnya pergi ke pusat rehabilitasi. Dia tidak mahu," kata doktor berusia 39 tahun itu.

Menurut Luque dia tidak tahu mengapa tidak ada defibrillator di kediaman Maradona di Tigre dan menjelaskan penjagaan di rumah bukan tanggungjawabnya.

Maradona telah menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di otak pada awal November.

Luque dilaporkan telah membenarkan Maradona pulang lapan hari kemudian. - AFP

Berita Harian X