Jumaat, 27 November 2020 | 10:20pm
Membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 antara kejayaan terbesar Maradona.
Membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 antara kejayaan terbesar Maradona.

Jiwa Maradona kembali 'tenang'

LONDON: "Apabila Tuhan putuskan masanya sudah tiba, saya rasa Dia akan datang kepada kita."

Diego Maradona sentiasa tahu bahawa hidupnya hanyalah pinjaman, namun apa yang mengejutkan dia dapat hidup selama 60 tahun.

Apapun, mengetepikan jangkaan ramai sememangnya sudah sebati dalam kehidupan pemain yang digelar antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Kehidupannya kini sudah berakhir dan jiwanya sudah tenang.

Tidak ramai manusia dalam sejarah yang mampu menyebabkan pandangan umum terbahagi seperti yang dilakukan pemenang Piala Dunia itu yang 'menipu' di dalam mahupun di luar padang.

Namun kepada mereka yang bertuah untuk menyaksikan Maradona ketika zaman kegemilangannya, tiada yang dapat menafikan dia seorang pemain yang genius.

Pemain England yang tewas di tangan Argentina pada Piala Dunia 1986 belum melupakan mahupun memaafkan gol ikonik yang jelas mengecewakan mereka.

Namun, tiada siapa dapat menghalang dia daripada menjaringkan Gol Terbaik Seabad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada petang yang tidak dapat dilupakan di Stadium Azteca, Mexico.

Melihat kepada susuk fizikalnya, tubuhnya kelihatan seperti seorang yang dihempap lif.

Walaupun kelihatan agak 'berat' dengan tubuh yang rendah namun ia memberi keseimbangan dan kelincahan yang menakjubkan untuk melepasi kawalan pertahanan lawan.

Berdepan pelbagai terjahan namun penyerang kecil itu tetap berani dan sering kali mencabar lawan yang memiliki fizikal lebih besar berbandingnya.

Dia menamatkan karier penuh bermasalah di Barcelona dengan mencetuskan rusuhan ketika final Copa del Rey 1984 apabila dia bergaduh dengan dua pemain lawan dan penceroboh padang sebelum tersungkur apabila menerima 'flying kick' di dada.

Itu sudah cukup buat juara Sepanyol berkenaan gembira untuk melepaskan pemain agresif itu ke Napoli dengan rekod perpindahan dunia, 6.9 juta pound (RM32 juta).

Dan apabila dia tiba di bandar termiskin dan terganas di Itali itu, di situlah Maradona menjumpai 'syurganya'.

Ketika ramai pemain terbaik dunia ke bandar besar seperti Milan, Turin dan Rome, Maradona menyertai pasukan pertengahan liga yang ketika itu dipandang rendah pasukan lain dalam Serie A.

Dalam perlawanan pertamanya menentang Juventus, dia disambut dengan sorakan 'sudah penat dengan taun, mangsa gempa bumi, anda tidak pernah menggunakan sabun, Napoli teruk, Maradona teruk.'

Dia membalas semua kritikan itu dengan menjadi nadi kejayaan Napoli menjuarai liga Itali pada 1987 dan 1990 serta Piala UEFA pada 1989.

Namun, kejayaan tiba dengan godaan dan Maradona sentiasa berdepan situasi yang mencetuskan masalah dengan isteri dan anaknya.

Kejayaan Piala Dunia 1986 dicemari dengan kelahiran anak luar nikahnya yang tidak diakui oleh Maradona bagi tempoh lebih 30 tahun.

Hubungan baiknya dengan bos mafia Camorra, Carmine Giuliano bukanlah satu rahsia termasuklah ketagihannya terhadap kokain yang akhirnya menjadi luar kawalan.

Bagaimanapun dia 'terlepas' daripada sebarang ujian dadah sehingga 1991 apabila didakwa menggunakan sampel air kencing rakan sepasukannya.

Ketika Maradona menjaringkan sepakan penalti penentuan untuk menyingkirkan Itali daripada separuh akhir Piala Dunia 1990, penyokong di Stadium San Paolo turut mengejeknya.

Dia serta merta diundi sebagai lelaki paling dibenci di Itali dan Naples yang sebelum ini memujanya, tidak lagi menyokong pemain yang menghadirkan keceriaan di bandar itu.

'Kantoi' membeli dadah menerusi intipan polis, Maradona mengaku bersalah atas kesalahan memiliki serta mengedar kokain dan menerima hukuman penjara dua tahun tetapi hukuman itu masih tergantung.

Seminggu kemudian, dia gagal ujian dadah selepas aksi menentang Bari dan dikenakan penggantungan 15 bulan.

Begitulah pengakhiran perjalanan hebat Maradona di Itali namun dia cuba meneruskan kariernya bersama Sevilla dan Newell's Old Boys namun kariernya berakhir secara rasmi apabila ditendang keluar daripada Piala Dunia 1994 selepas didapati positif efedrin.

Namun, ada yang berpendapat dia mengambil 'barang' itu untuk membantu dia menguruskan badan.

Apa yang lebih mengejutkan adalah keputusan Persatuan Bolasepak Argentina yang melantik Maradona sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada 2008 di mana ia satu keputusan yang dilihat tidak tepat.

Dia sudahpun mengalami serangan jantung susulan terlebih dos kokain selain perlu menjalani rehat untuk mengatasi hepatitis dan ketagihan alkohol.

Dia turut menjadi pengurus di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Belarus, Mexico dan Argentina namun tahap kesihatannya semakin merosot susulan gaya hidupnya yang tidak menentu dan selepas sambutan ulang tahun ke-60, dia menjalani pembedahan otak untuk membuang darah beku.

Doktor sudah lama menasihatinya supaya mengubah cara hidupnya namun tiada kompromi untuk menjadi 'separuh baik dan separuh jahat.'

Seperti yang dikatakan olehnya 'hanya satu pilihan saya. Saya tidak boleh menjadi kedua-duanya.'

Diego Armando Maradona, semoga kamu bersemadi dengan tenang. -Agensi

PROFIL

DIEGO MARADONA

Nama penuh: Diego Armando Maradona Franco

Tarikh lahir: 30 Oktober 1960

Tempat lahir: Buenos Aires, Argentina

Tarikh meninggal dunia: 25 November 2020

Tempat lahir: Tigre, Argentina

Tinggi: 1.65m

Posisi: Pemain tengah menyerang

Karier Pemain:

1976-81: Argentinos Juniors

1981-82: Boca Juniors

1982-84: Barcelona

1984-91: Napoli

1992-93: Sevilla

1993: Newell's Old Boys

1995-97: Boca Juniors

Karier antarabangsa:

Penampilan antarabangsa: 91 (1977-94)

Jumlah gol antarabangsa: 34

Rekod kejuaraan:

Juara Piala Dunia FIFA (1986)

Pemain Terbaik Piala Dunia FIFA (1986)

Juara Piala UEFA (1989)

Juara Itali (1987, 1990)

Juara Argentina (1981)

Piala Super Sepanyol (1983)

Piala Sepanyol (1983)

Piala Itali (1987)

Piala Super Itali (1990)

Penjaring terbanyak di Itali (1988), Argentina (1979, 1980)

Pemain Seabad FIFA (2000)

Karier jurulatih:

Textil Mandiyu (1994)

Racing Club (1995)

Argentina (2008-2010)

Al Wasl (2011-12)

Al-Fujairah (2017-18)

Dorados (2018-19)

Gimnasia y Esgrima La Plata (2019-20)

Berita Harian X