Jumaat, 27 November 2020 | 7:32am
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic masih cemerlang walaupun sudah berusia 39 tahun. - AFP
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic masih cemerlang walaupun sudah berusia 39 tahun. - AFP

Ibrahimovic bakal kembali sarung jersi Sweden

STOCKHOLM: Zlatan Ibrahimovic kini sedang berbincang dengan ketua jurulatih Sweden, Janne Andersson mengenai potensi untuk kembali bersama pasukan kebangsaan, kata Persatuan Bola Sepak Sweden hari ini.

Berita berkenaan hadir hanya sehari selepas pemain berusia 39 tahun itu yang bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia 2016, menyatakan dia terbuka untuk sekali lagi menyarung jersi negaranya.

FA Sweden berkata, Janne Andersson berjumpa Ibrahimovic bagi membincangkan kemungkinan itu selepas persembahan baik pemain itu bersama AC Milan.

Dia mengetuai senarai penjaring Serie A dengan 10 gol musim ini, lebih daripada separuh jumlah gol keseluruhan Milan iaitu 19.

"Apabila Zlatan membuka pintu untuk bermain bersama pasukan kebangsaan, adalah sesuatu yang normal dan penting untuk kami berjumpa dan membincangkannya secepat mungkin," kata Andersson dalam satu kenyataan.

"Pertemuan itu bagus dan membuahkan hasil, dan kami bersetuju untuk terus berbincang."

Ibrahimovic menyatakan keinginan untuk kembali ke pentas antarabangsa kelmarin selepas menang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Sweden buat kali ke-12. - AFP

Berita Harian X