Isnin, 23 November 2020 | 10:31pm
Bintang Argentina, Lionel Messi (kiri) bersalam dengan Ronald Koeman selepas satu aksi membabitkan Barcelona sebelum ini. - Foto ihsan Daily Mirror.
Bintang Argentina, Lionel Messi (kiri) bersalam dengan Ronald Koeman selepas satu aksi membabitkan Barcelona sebelum ini. - Foto ihsan Daily Mirror.

Barcelona tak turunkan Messi, De Jong jumpa Kiev

BARCELONA: Jurulatih Barcelona, Ronald Koeman berkata Lionel Messi dan Frenkie de Jong diberikan rehat dan tidak akan turun menentang Dynamo Kiev dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini waktu Malaysia.

Barca terbang ke Ukraine selaku pendahulu Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di depan Juventus di tempat kedua, namun mereka berada di tangga ke-12 La Liga apabila tewas 1-0 kepada Atletico Madrid, Sabtu lalu.

"Kami memutuskan untuk tidak menggunakan Leo atau Frenkie kerana keadaan kami di Liga Juara-Juara cukup selesa," kata Koeman.

Messi, 33, beraksi dalam setiap perlawanan Barca musim ini dan dan empat kali bermain penuh 90 minit bersama pasukan antarabangsa Argentina sepanjang Oktober dan November.

De Jong yang juga pemain tengah dan 10 tahun lebih muda dari Messi turut bermain dalam semua perlawanan gergasi Catalan itu serta lima perlawanan antarabangsa untuk Belanda dalam tempoh yang sama.

"Pemain memerlukan rehat dan kami rasa ini masanya mereka berehat ...mereka bermain hampir setiap minit dan turut beraksi dengan pasukan kebangsaan mereka," kata Koeman.

"Kadang-kadang, anda harus melindungi pemain kerana kalendar perlawanan luar biasa."

- AFP

Berita Harian X