Isnin, 23 November 2020 | 4:57pm
 Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto ihsan FB FAM.
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto ihsan FB FAM.

Cheng Hoe bimbang kecergasan pemain skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Tahap kecergasan pemain menjadi perkara pokok buat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menjelang pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan.

Beliau berkata kebimbangan tercetus kerana pemain negara ketandusan aksi kompetitif berikutan tiada perlawanan antarabangsa selain aksi Liga Malaysia (Liga M) dikurangkan manakala pembatalan saingan Piala Malaysia musim ini.

Katanya, persediaan rapi pasukan pada 2019 menyaksikan skuad kebangsaan mencapai momentum terbaik hingga berjaya menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas melakar kemenangan penting ke atas Indonesia dan Thailand.

"Sebagai jurulatih saya bimbang dengan situasi pasukan. Ia satu jurang (prestasi) besar kerana kita (Malaysia) masih ada tiga lagi perlawanan terakhir yang cukup penting tetapi tidak sekali pun kami menjalani latihan pusat atau bermain perlawanan antarabangsa pada 2020 ini.

"Sudah tentu kita risau keselamatan dan kesihatan pemain tetapi dalam bola sepak jika lama tidak beraksi memang boleh jejaskan keseluruhan prestasi. Ditambah dengan mental dan fizikal terganggu kerana liga banyak kali ditunda dan terpaksa buat latihan sendiri di rumah," katanya kepada Bernama hari ini.

Musim 2019 menyaksikan skuad Harimau Malaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1 sejak muncul naib juara Piala AFF 2018 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi.

Malaysia dijadual berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam masing-masing pada 25 dan 30 Mac, sebelum aksi terakhir menentang Thailand pada Jun tahun depan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kepadatan kalendar 2021 mengambil kira saingan Liga M yang membuka tirai pada Februari, menyaksikan kemungkinan pemain kebangsaan dapat dikumpulkan pada pertengahan Mac.

Katanya, situasi itu menambah cabaran dihadapinya dalam menyediakan pasukan terbaik tatkala pasukan lawan terutama UAE dan Vietnam telah memulakan persiapan lebih awal.

"Kalau fikir tugas ini susah. Ya, memang susah tetapi sebagai jurulatih saya ambil ini sebagai cabaran dan perlu fikir secara positif. Kalau lihat pasukan lain telah buat persiapan cukup rapi dan baik, yang penting saya perlu ada keyakinan kepada pemain.

"Saya harap mereka (pemain) juga dapat menyediakan diri dalam keadaan fizikal dan mental yang terbaik untuk harungi jadual padat 2021 supaya mereka dalam keadaaan bersedia sekiranya dipanggil menyertai kem latihan pusat," kata pengendali berusia 52 tahun itu.

- BERNAMA

Berita Harian X