Ahad, 15 November 2020 | 8:35am
Pemain Mesir, Mahmoud el Wensh menjaringkan gol tunggal pasukannya ketika menewaskan Togo di Stadium Kaherah, Mesir. - EPA
Pemain Mesir, Mahmoud el Wensh menjaringkan gol tunggal pasukannya ketika menewaskan Togo di Stadium Kaherah, Mesir. - EPA

Tanpa Salah Mesir atasi Togo

JOHANNESBURG: Tanpa Mohamed Salah, Mesir meledak menerusi pertahanan Mahmoud el Wensh untuk mengatasi Togo 1-0 di Kaherah hari ini pada kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2021.

Penyerang prolifik Liverpool, Salah diuji positif COVID-19 selepas tiba di Kaherah bagi tugasan antarabangsa dan ujian berikutnya mendapati keputusan sama.

Selain terlepas dua perlawanan berturut-turut menentang Togo, dia juga boleh diketepikan bagi dua perlawaan berikutnya untuk kelab, menentang pendahulu Leicester City dalam Liga Perdana dan Atalanta dalam Liga Juara-Juara.

Salah tidak menunjukkan sebarang simpton dan kakitangan perubatan Persatuan Bola Sepak Mesir sudah berhubung dengan rakan sejawatan di Liverpool.

Pemenang dua kali anugerah Pemain Terbaik Afrika itu tidak begitu bernasib baik dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika, selepas mengalami kecederaan berdepan Kenya November tahun lalu yang menyebabkan dia diketepikan ketika berdepan Comoros.

El Wensh – yang juga dikenali sebagai Mahmoud Hamdy dan Mahmoud Attia – menewaskan penjaga gol Malcolm Barcola pada minit ke-54 menerusi tandukan selepas Togo gagal mengeluarkan bola hasil sepakan percuma.

Ia memberikan Mesir yang juga juara Afrika tujuh kali, kemenangan pertama dalam Kumpulan G selepas seri berdepan Kenya dan Comoros. - AFP

Berita Harian X