Sabtu, 14 November 2020 | 7:12am
Pemain Everton dari Nigeria, Alex Iwobi (kanan) meledak dua gol buat negaranya tapi hanya sekadar seri berdepan Sierra Leone. - AFP
Pemain Everton dari Nigeria, Alex Iwobi (kanan) meledak dua gol buat negaranya tapi hanya sekadar seri berdepan Sierra Leone. - AFP

Sierra Leone bangkit kejutkan Nigeria

JOHANNESBURG: Sierra Leone mencipta satu daripada kebangkitan terhebat dalam Piala Negara-Negara Afrika selepas seri 4-4 berdepan Nigeria ketika Mesir berdepan ancaman besar selepas tonggak pasukan, Mohamed Salah diuji positif COVID-19.

Nigeria tampak mampu memungut tiga mata dalam kelayakan 2021 itu apabila mendahului empat gol selepas 31 minit di Benin City berdepan lawan yang berada 88 tempat di bawah mereka dalam kedudukan dunia.

Namun kebangkitan sensasi yang bermula sejurus sebelum tamat babak pertama hasil jaringan Kwame Quee mencapai kemuncak lima minit sebelum tamat apabila Al-Hadji Kamara menyamakan kedudukan.

Nigeria meledak menerusi Alex Iwobi (dua gol), Victor Osimhen dan Samuel Chukwueze dalam saingan Kumpulan L itu namun Sierra Leone, yang hanya menang dua kali dalam 14 aksi berdepan Nigeria, enggan mengalah dan Kamara mencipta dua lagi gol selain satu daripada Mustapha Bundu untuk keputusan seri dramatik.

Ia adalah kebangkitan terhebat dalam Piala Negara-Negara Afrika sejak pusingan akhir 2010 apabila Mali seri 4-4 dengan tuan rumah Angola pada saingan pembukaan selepas ketinggalan empat gol 12 minit sebelum tamat di Luanda.

Juara Afrika tujuh kali, Mesir kini berkedudukan ketiga satu lagi kumpulan selepas seri dengan Kenya dan Comoros, dan berharap bintang Liverpool, Salah boleh mengemudi mereka mencipta kemenangan berdepan Togo.

Bagaimanapun, dia tidak dapat bermain di Kaherah awal pagi esok dan Lome Selasa nanti apabila perlu menjalani pengasingan di bilik hotel dekat Kaherah kerana positif COVID-19 tanpa menunjukkan simpton. - AFP

Berita Harian X