Sabtu, 7 November 2020 | 10:36am
Pep Guardiola (kiri) dan Jurgen Klopp bakal buat perhitungan di Etihad aksi EPL. - Foto ihsan crossnnod.
Pep Guardiola (kiri) dan Jurgen Klopp bakal buat perhitungan di Etihad aksi EPL. - Foto ihsan crossnnod.

Pertempuran sengit City, Liverpool di Etihad

KOLUM APA KATA EPL

Minggu ini tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) pastinya terarah ke Stadium Etihad bagi menyaksikan pertembungan antara dua kelab gergasi, Manchester City dan penyandang juara, Liverpool.

City yang dibimbing Pep Guardiola menyambut kunjungan The Reds dengan berada di kedudukan ke-10 liga hasil himpunan 11 mata, ketinggalan lima mata di belakang Liverpool yang gah di persada, namun masih memiliki satu aksi dalam tangan.

Kedua-dua pasukan mula menunjukkan taring masing-masing sejak beberapa minggu ini dengan beberapa kemenangan meyakinkan sekali gus menunjukkan kesungguhan untuk merangkul kejuaraan musim ini.

Pun begitu, City bergelut minggu lalu mengatasi Sheffield 1-0, sebelum bangkit membenam Olympiakos, 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara. Kegembiraan mereka berganda, apabila penyerang Brazil, Gabriel Jesus yang cedera sebelum ini kembali dalam pasukan.

Dia menjaringkan satu gol pada aksi itu dan dijangka disenaraikan Pep Guardiola dalam kesebelasan utama tengah malam esok selepas ketiadaan Sergio Aguero akibat cedera tatkala Benjamin Mendy dan Fernandinho dijangka turut tersisih akibat cedera.

Liverpool pula yang masih segar dengan kejayaan membelasah kelab Itali, Atalanta, 5-0 pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu sudah pasti tidak sabar mengecewakan penyokong City di Etihad. Minggu lalu mereka mengatasi West Ham 2-1 untuk mengungguli persada EPL.

Bintang baharu The Reds, Diogo Jota rasanya turut tidak sabar untuk mempamerkan bisanya di Anfield selepas mencatat hatrik di laman Atalanta. Untuk itu dia berharap akan disenaraikan Jurgen Klopp dalam kesebelasan utama bagi aksi besar ini.

Liverpool sebelum ini mempertaruhkan gandingan Sadio Mane, Mohamed Salah dan Firmino untuk merobek gawang lawan, namun kehadiran Jota sudah pasti memberi pilihan tambahan kepada Klopp. Jika Jota disenaraikan, Firmino sudah pasti tersisih selepas dilihat gagal menyerlah apabila hanya menjaringkan satu gol daripada 10 aksi bagi semua pertandingan.

Dalam pada itu Fabio, Virgil van Dijk dan Alex Oxlade-Chamberlain tersisih bagi aksi besar ini manakala kedudukan Joel Matip, Thiago Alcantara, Naby Keita dan Konstantinos Tsimikas masih meragukan.

Mengimbas dalam enam pertemuan terakhir, menyaksikan kedua-dua pasukan hanya terikat sekali tanpa jaringan. City memenangi empat daripada pertembungan itu dan tidak pernah tewas kepada The Reds sejak 2015 di laman sendiri.

The Citizens memenangi aksi terakhir 4-0 pada Julai lalu, namun ketika ketika itu Liverpool sudah pun bergelar juara liga. Tiga mata di Etihad ini sangat berharga bagi kedua-dua pasukan kerana ia mungkin menjadi titik permulaan ke arah merangkul kejuaraan liga musim ini. Jadi tiga mata ini bakal milik pasukan mana?

Sementara itu, Manchester United yang mengalami dua kekalahan berturut-turut - Arsenal (0-1) dan Istanbul Basaksehir (1-2) akan berkunjung ke Goodison Park bertemu Everton malam ini, dengan nasib Ole Gunnar Solskjaer dijangka menjadi pertaruhan. - Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini
Brighton 1 Burnley 2
Southampton 1 Newcastle 1
Everton 3 Man United 2
C Palace 1 Leeds 1
Chelsea 3 Sheffield 1
West Ham 1 Fulham 1
West Brom 1 Tottenham 4
Leicester 1 Wolves 1
Man City 2 Liverpool 2
Arsenal 3 Aston Villa 1

Berita Harian X