Jumaat, 6 November 2020 | 11:33pm
Aksi sengit pertemuan Kedah-Pahang di Stadium Darulaman menyaksikan Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia. Ihsan Kedah FA
Aksi sengit pertemuan Kedah-Pahang di Stadium Darulaman menyaksikan Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia. Ihsan Kedah FA

Lang Merah tumbangkan Tok Gajah

ALOR SETAR: Kedah layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas membenam Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Babak permulaan berlangsung sengit dengan Kedah melalui penyerangnya Kipre Tchetche hampir membolosi gawang Pahang menerusi percubaan minit ketujuh namun dihalang penjaga gol, Helmi Eliza.

Selepas melakukan beberapa percubaan bahaya termasuk daripada Kpah Sherman pada minit ke-12 yang gagal dimanfaatkan tuan tumah, Kedah mengejutkan Pahang hasil tandukan Shakir Hanzah pada minit ke-17 berpunca dari sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Pahang cuba bangkit memburu gol pada minit ke-23 apabila percubaan Ivan Carlos yang menolak bola ke arah Dickson Nwakeme namun gagal dimanfaatkan pemain kelahiran Nigeria itu.

Pahang terus tertekan apabila Kedah menambah gol pada minit ke-35, sekali lagi melalui tandukan Sherman yang menerima hantaran cantik Tchetche dari sebelah kiri gawang pelawat.

Shakir (kiri) meraikan gol awal jaringannya di Stadium Darul Aman. - Ihsan FB FA Kedah
Shakir (kiri) meraikan gol awal jaringannya di Stadium Darul Aman. - Ihsan FB FA Kedah

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah menambah derita skuad Tok Gajah dengan gol ketiga melalui umpanan pemain sayap Faizat Ghazli kepada Tchetche yang disambut dengan rembatan padu ke arah penjuru kiri.

Tiga minit selepas babak kedua bermula, Pahang mendapat gol pertama hasil tandukan Muslim Ahmad yang berjaya menewaskan Azri Ghani, berpunca dari sepakan percuma pemain tengah, Nor Azam Azih.

Pahang sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pengadil Muhammad Nazmi menghadiahkan sepakan penalti selepas pertahan Kedah, Renan Alves menarik baju Adam Michael namun sepakan Nwakaeme sekadar terkena tiang.

Pelawat akhirnya berjaya merapatkan jurang hasil sumbangan pemain gantian, Faizal Abdul Rani pada minit ke-88.

Berita Harian X