Rabu, 21 Oktober 2020 | 5:53pm
Aksi Diogo Luis Santo (tengah) ketika beraksi menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Aksi Diogo Luis Santo (tengah) ketika beraksi menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Foto NSTP/Zain Ahmed

JDT tak sambung kontrak Diogo

ISKANDAR PUTERI: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pihaknya tidak menyambung kontrak pemain import mereka, Diogo Luis Santo bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Namun pemain kelahiran Brazil yang akan kembali berhijrah ke Liga Thailand akan bersama skuad Harimau Selatan untuk saingan Piala Malaysia akan akan bermula tidak lama lagi. Dia bagaimanapun tidak menyertai skuad itu mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi Zon Timur di Qatar yang bermula 18 November hingga 13 Disember ini.

Tunku Ismail berkata, JDT sudah ada pengganti Santo iaitu pemain dari Brazil, Camilio da Silva yang pernah beraksi untuk kelab FC Tijuana dalam saingan Liga Utama Mexico (Liga MX) dan akan menyertai JDT pada musim depan.

"Diogo akan bersama JDT bagi mengharungi kempen Piala Malaysia dan selepas itu dia akan kembali menyertai kelab di Thailand. Untuk kempen ACL, Fernando Rodriguez akan bersama pasukan JDT untuk saingan ACL di Qatar.

"Kami dah lama nak bawa ke JDT kerana corak permainannya sesuai dengan corak permainan JDT. Tapi akibat bajet saya kurang ketika itu maka terpaksa tunggu dua tahun sebelum semuanya diselesaikan selepas kontraknya tamat dan dia akan ke JDT musim depan, " kata Tunku Ismail pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat JDT, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards.

Tunku Ismail (tengah) yang juga Pemilik Kelab Bolasepak JDT pada sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT Iskandar Puteri hari ini. - Foto BERNAMA
Tunku Ismail (tengah) yang juga Pemilik Kelab Bolasepak JDT pada sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT Iskandar Puteri hari ini. - Foto BERNAMA

Mengulas mengenai persiapan skuad Harimau Selatan bagi saingan Piala Malaysia dan ACL yang akan berlangsung serentak, Tunku Ismail menegaskan bukan pasukan kedua yang akan bersaing dalam kancah piala berprestij.

Sebaliknya, dua kejuaraan yang membabitkan juara Liga Super tujuh musim itu akan seimbang yang menyaksikan beberapa pemain skuad Johor Darul Ta'zim II akan diserapkan ke skuad utama untuk bergabung bersama pemain JDT yang tidak bersama pemain lain ke Qatar.

Mengenai status pengendali JDT, Benjamin Mora, Tunku Ismail mengesahkan jurulatih dari Brazil itu dilanjutkan kontrak selama dua tahun selepas beliau berjaya menyerap falsafah permainan yang diinginkan.

"Kita boleh tengok daripada keputusan yang diraih JDT apabila Mora mengendalikan skuad itu. Malah beliau sentiasa menjaga kehormanian setiap pemain tatkala berada di bilik persalinan dan juga memberi ruang kepada pemain muda beraksi dalam skuad utama," katanya.

Tunku Ismail juga mengesahkan bekas pemain FELDA United, Danial Amier Norhisham sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai JDT dan sedang mengintai pemain bek kiri untuk menguatkan lagi pasukan itu.

"Saya ambil dia kerana boleh beri pendedahan terbaik kepadanya malah akan menyenaraikan pemain itu dalan skuad JDT bagi kempen ACL musim depan.

"FELDA United minta saya bayar RM1 juta untuk mendapatkan Daniel dan saya anggap harga itu tidak masuk akal kerana dia pemain muda. Kami tunggu sampai kontrak dia habis. Itu yang saya buat," kata Tunku Ismail.

Berita Harian X