Selasa, 20 Oktober 2020 | 6:51pm
HAMIDIN menyampaikan sijil anugerah gangsa SupaRimau kepada Nik Nazmi. Turut hadir Azril (kanan), Stuart Ramalingam dan Khushairi (kiri)
HAMIDIN menyampaikan sijil anugerah gangsa SupaRimau kepada Nik Nazmi. Turut hadir Azril (kanan), Stuart Ramalingam dan Khushairi (kiri)

Setiawangsa Rangers FC dapat pengiktirafan FAM

KUALA LUMPUR: Setiawangsa Rangers FC mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini apabila dianugerahkan ahli gangsa Piagam SupaRimau yang diperkenalkan badan induk itu.

Lebih manis, anugerah itu disampaikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Penaung Setiwangsa Rangers FC, Nik Nazmi Nik Ahmad, Penasihat kelab, Datuk Azril Mat Drus dan Presidennya, Khushairi Aizad Jamalludin di Wisma FAM.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan FAM kepada usaha dan misi Setiawangsa Rangers FC dalam membangunkan program bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saya dan Setiawangsa Rangers FC terharu dengan pengiktirafan FAM ini, apatah lagi kami hanya kelab kecil dan baru dua tahun ditubuhkan.

"Jadi, anugerah dan pengiktirafan ini sudah tentu memberikan motivasi terbaik kepada kami dalam membangunkan lagi program di peringkat akar umbi sekali gus membuktikan program yang kami laksanakan berada di landasan tepat," kata Nik Nazmi.

Sebelum ini, Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT) dan akademi bola sepak Selangor yang dikenali Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools dianugerahkan ahli emas Piagam SupaRimau.

Piagam SupaRimau FAM dibezakan menerusi tiga tahap iaitu ahli emas (penanda aras) yang memfokuskan kepada pertumbuhan dan pengekalan bilangan pemain dan program.

Ahli perak (maju) pula yang mementingkan kelestarian dan pembangunan, sementara ahli gangsa (asas) yang menekankan pada asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan.

Program piagam akar umbi itu dikancarkan tahun lalu bagi menempah laluan lebih baik dan memastikan bola sepak di semua peringkat di negara ini semakin berkembang.

Ia juga antara usaha yang konsisten dijalankan FAM sejajar dengan Peta Hala Tuju F: 30 2019-2030.

Berita Harian X