Sabtu, 26 September 2020 | 12:16pm
Aksi bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) ketika menjaringkan gol buat pasukannya pada aksi Perisai Komuniti Inggeris menentang Liverpool di Stadium Wembley di utara London, pada 29 Ogos lalu. - Foto AFP
Aksi bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) ketika menjaringkan gol buat pasukannya pada aksi Perisai Komuniti Inggeris menentang Liverpool di Stadium Wembley di utara London, pada 29 Ogos lalu. - Foto AFP

Mungkinkah Liverpool kecundang lagi kepada Arsenal?

KOLUM APA KATA EPL

Minggu lalu, Manchester United dimalukan oleh Crystal Palace 3-1 di Old Trafford sehingga mencetus reaksi kurang senang penyokong mereka. Turut menerima nasib sama, pencabar utama kejuaraan, Chelsea kepada juara bertahan, Liverpool 0-2 di Stamford Bridge.

Tottenham Hotspur yang tumbang kepada Everton aksi pertama, sebaliknya berjaya bangkit membelasah Southampton, 5-2. Dua lagi pencabar utama liga, Manchester City dan Arsenal turut menang dengan masing-masing menjinakkan Wolves, 3-1 dan West Ham, 2-1.

Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian mengenai prestasi dan kedudukan `6 gergasi' Liga Perdana Inggeris (EPL) itu musim ini, namun ia boleh memberi sedikit indikasi terutama ketika saingan masih berdepan pandemik COVID-19.

Selepas dua aksi, carta liga didahului Leicester City dengan himpunan enam mata dan perbezaan gol yang membabitkan lima pasukan termasuk Arsenal dan Liverpool yang masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Bagi minggu ini, saingan bertumpu kepada pertembungan Liverpool dan Arsenal di Anfield pada awal pagi Selasa ini. Buat The Reds ini adalah aksi besar ketiga berturut-turut buat mereka selepas terdahulu bertemu Leeds United (juara Liga Kejuaraan Inggeris) dan Chelsea.

Ketika bertemu Leeds, anak buah Jurgen Klopp dilihat bergelut sebelum menang 4-3. Terima kasih kepada hatrik Mohamed Salah manakala ketika bertemu The Blues, mereka kelihatan meningkat sebelum Sadio Mane memastikan tiga mata dengan dua gol.

Persoalannya, mampukah Jurgen Klopp mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut atau tunduk dengan strategi pengendali The Gunners, Mikel Arteta buat kali kedua bagi musim ini selepas kecewa pada aksi Perisai Komuniti.

Seperti juga Liverpool, Arsenal setakat ini cemerlang dengan dua kemenangan berturut-turut. Menang bergaya 3-0 ke atas Fulham di laman lawannya itu, dan menjinakkan West Ham 2-1 di Emirates.

Dengan melihat prestasi semasa kedua-dua pasukan, agak sukar untuk menentukan pemenangnya. Apalagi dalam aksi terakhir saingan Piala Liga Inggeris kelmarin, kedua-duanya juga tiada masalah untuk teruskan kemaraan.

Faktor kapten pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang harus jadi antara penentu, manakala kehadiran bintang baru Liverpool, Diogo Jota yang tampil ketika mereka menewaskan Lincoln City, 7-2, kelmarin, bakal menyemarakkan lagi saingan. Selepas ini, kedua-dua pasukan berentap lagi pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris pada 1 Oktober.

Sementara itu, United berkunjung ke Stadium Falmer bertemu Brighton manakala The Blues ke Hawthorns menentang pasukan tercorot liga dan pendatang baru liga, West Bromwich. Hanya kemenangan akan membangkitkan semangat pemain dan penyokong kedua-dua pasukan ini.

Selamat menonton.

Ramalan minggu ketiga:
Brighton 0 - 2Man United
C Palace 1-1 Everton
West Bromwich 0-3 Chelsea
Burnley 2-1 Southampton
Sheffield 1-2 Leeds
Tottenham 2-0 Newcastle
Man City 3-1 Leicester
West Ham 1-1 Wolves
Fulham 1-2 Aston Villa
Liverpool 2-1 Arsenal

Berita Harian X