Selasa, 22 September 2020 | 5:19pm
Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa berdiri di hadapan 'Luciano Figueroa Stand 'pada majlis perasmian tempat duduk itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa berdiri di hadapan 'Luciano Figueroa Stand 'pada majlis perasmian tempat duduk itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Nama Figueroa diabadikan di Stadium Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU: Nama legenda kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini menjadi pengurus pasukan berkenaan, Luciano Figueroa diabadikan di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dekat sini.

Langkah menamakan kawasan berkenaan sebagai `Luciano Figueroa Stand' adalah bagi menghormati jasa beliau sepanjang berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014 sehingga 2018.

Majlis ringkas penamaan tempat duduk itu disempurnakan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini dan disaksikan oleh Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas dan Figueroa.

"JDT adalah sebuah kelab yang memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah memberi sumbangan kepada bola sepak Johor tidak kira masa lalu atau masa akan datang. Kami sentiasa menghargai pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan yang telah berkhidmat dan mencipta sejarah bersama JDT.

"Hari ini, kami mengiktiraf sumbangan bekas pemain kami dan pengurus pada masa ini, Luciano Figueroa, yang telah memenangi pelbagai trofi bersama JDT termasuk detik bersejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Timur yang memenangi Piala AFC. Nama beliau akan selamanya tertera di stadium ini," kata Tunku Ismail.

Sebagai rekod, sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014, beliau menjaringkan 42 gol dan ia adalah pencapaian terbaik selaku pemain import selain melakukan 14 bantuan jaringan selepas mengharungi 71 perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Argentina ini memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2015 sebelum disusuli kejayaan terbesar pada musim 2015 apabila JDT membawa pulang Piala AFC.

Pada musim 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih. Pada bulan Ogos tahun yang sama beliau dilantik sebagai pengurus pasukan

Pelantikan Figueroa selaku pengurus pasukan ternyata memberi kesan buat JDT apabila memenangi Piala Sumbangsih pada musim 2016 dan 2019 selain muncul juara liga 2019 dan turut men juarai Piala Malaysia pada musim yang sama.

Berita Harian X