Jumaat, 4 September 2020 | 11:13pm
 Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringannya bersama Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. - BERNAMA
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringannya bersama Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. - BERNAMA

JDT ratah Perak

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas membaham Perak 7-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kini pasukan yang menjuarai liga enam musim berturut-turut itu perlu mengharungi baki lima perlawanan untuk memburu kejuaraan ketujuh sekali gus mencipta sejarah bola sepak Malaysia sebagai satu-satunya pasukan memenangi liga tujuh musim berturut-turut.

Serangan berterusan tuan rumah gagal dikekang benteng pelawat selepas gol menjelma pada minit ke-22 apabila bola bergolek tepat ke kaki Afiq Fazail dan begitu mudah untuknya melencong tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Nasrullah Abdul Aziz.

Tuan rumah meneruskan derita anak didik Mehmet Durakovic apabila mencipta gol kedua selepas bola umpanan Leandro Velazquez di dalam kotak penalti membuka ruang buat Gonzalo Cabrera merembat bola tepat ke penjuru kanan untuk kedudukan selesa 2-0.

Gol ketiga tuan rumah bagaikan menamatkan sisa perjuangan pelawat apabila Cabrera mencetak gol kedua peribadi selepas menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-44 berpunca daripada kesilapan Rafiuddin Roddin mengasari Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti.

 Empat pemain Perak cuba menghalang pergerakan Pemain JDT, S. Kunanlan daripada membawa bola ke kawasan pintu gol Perak pada perlawanan Liga Super 2020 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) lawan Perak di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor. KHIS/ZAIN AHMED
Empat pemain Perak cuba menghalang pergerakan Pemain JDT, S. Kunanlan daripada membawa bola ke kawasan pintu gol Perak pada perlawanan Liga Super 2020 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) lawan Perak di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor. KHIS/ZAIN AHMED

Pemain meningkat naik, Ramadhan Saiffullah Usman ternyata berada di dalam kelas tersendiri apabila menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama selepas melakukan sepakan voli di luar kotak penalti memerangkap Nasrullah yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Bersambung babak kedua Cabrera melakar hatrik pertama buat dirinya dalam saingan liga apabila menjaringkan gol pada mint ke-63 selepas menyudahkan bola hantaran Ramadhan untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan jaringan 5-0.

Pemain gantian, Safawi Rasid yang masuk menggantikan Ramadhan turut mencipta jaringan pada minit ke-78 selepas bertindak secara solo dan sempat mengelirukan Nasrullah sebelum merembat bola leret ke gawang yang terbuka luas.

Akhyar Rashid turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-84 melengkapkan kemenangan 7-0 membelasah Perak.

Berita Harian X