Jumaat, 4 September 2020 | 8:18am
Bek Sepanyol Jose Luis Gaya Pena menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Jerman dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA. - Foto AFP
Bek Sepanyol Jose Luis Gaya Pena menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Jerman dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA. - Foto AFP

Sepanyol, Jerman kongsi satu mata

STUTTGART, Jerman: Jose Luis Gaya meraih satu mata buat Sepanyol di saat akhir dalam keputusan seri 1-1 menentang Jerman di Stuttgart, dengan pemain remaja Barcelona Ansu Fati menjadi pemain kedua termuda tampil untuk La Roja.

Jerman begitu hampir untuk merakam kemenangan dalam aksi Liga A, Kumpulan 4 Liga Negara-Negara UEFA itu apabila Timo Werner membuka jaringan di babak kedua.

Namun enam minit dalam masa kecederaan, Gaya menolak masuk tandukan Rodrigo Moreno untuk gol penyamaan.

"Kami berjuang hingga akhir, ia ujian yang baik di awal musim. Mungkin kami berhak mendapat keputusan lebih baik, tetapi kami terus memberikan tekanan dan usaha kami berhasil.

"Kami pulang dengan keputusan seri, kami tidak berada pada tahap sepatutnya, tetapi kami akan memperbaikinya," kata kapten Sepanyol Sergio Ramos.

Pemain remaja Barcelona, Fati dimasukkan sebagai pemain gantian dan menjadi pemain termuda beraksi untuk Sepanyol dalam tempoh 84 tahun, pada usia 17 tahun 308 hari.

Fati yang menggantikan Jesus Navas, hanya beberapa hari lebih tua berbanding Angel Zubieta yang diturunkan ketika menentang Czechoslovakia pada tahun 1936. - AFP

Berita Harian X