Selasa, 1 September 2020 | 6:45am
Penyerang Zlatan Ibrahimovic menyambung kontrak selama setahun bersama AC Milan. - AFP
Penyerang Zlatan Ibrahimovic menyambung kontrak selama setahun bersama AC Milan. - AFP

Ibrahimovic sambung kontrak bersama Milan

ROME: Penyerang veteran, Zlatan Ibrahimovic menandatangani sambungan kontrak setahun bersama AC Milan, umum kelab gergasi Itali itu hari ini.

Bekas pemain antarabangsa Sweden itu yang akan berusia 39 tahun pada Oktober, kembali menyertai Milan pada Januari dan akan kekal di San Siro hingga penamat Jun 2021.

"Hari ini, Zlatan Ibrahimovic menyertai kembali rakan sepasukan dan jurulatih Stefano Pioli di Milanello Sports Center, tempat dia mengambil bahagian dalam sesi latihan pertama musim ini," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Menurut laporan media, Ibrahimovic bersetuju menerima 7 juta euro (RM34.81 juta) gaji tahunan bersama Milan.

Dia membantu skuad kendalian Pioli bangkit daripada permulaan buruk pada babak pertama musim, menjaringkan 11 gol dalam 20 perlawanan semua kejohanan dan membantu juara Eropah tujuh kali itu layak ke Liga Europa.

Ibrahimovic berkata pada hujung minggu dia "mahu membantu kelab itu kembali ke tempat sepatutnya."

"Selama enam bulan kami lakukan perkara yang hebat tetapi kami tidak menang apa-apa. Kami mesti meneruskannya dan lakukan perkara sama," katanya dalam satu rakaman video. - AFP

Berita Harian X