Isnin, 31 Ogos 2020 | 6:32pm
Nik Abduh (kiri) serah sumbangan kepada Shaari.
Nik Abduh (kiri) serah sumbangan kepada Shaari.

Nik Abduh sumbang RM10,000

KUALA LUMPUR: Masalah kewangan dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus mendapat perhatian beberapa pihak dan terbaru persatuan itu menerima sumbangan RM35,000.

Jumlah itu termasuk RM10,000 sumbangan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Kelab Permotoran DZ Bikers Kuala Lumpur dan Selangor (DZ Bikers) menyumbang sebanyak RM25,000.

Sumbangan replika cek dari DZ Bikers diserahkan Pengarah Urusan Grand Teknik Bina Sdn Bhd, Datuk Ir Abdul Manaf kepada Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah pada majlis Makan Malam DZ Bikers Merdeka Ride 2020 di Kota Bharu, kelmarin.

Dalam majlis berasingan, Nik Mohamad Abduh menyerahkan sumbangan beliau kepada Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata pihaknya berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan kedua-dua pihak terbabit dalam membantu meringankan bebanan dan memberi sokongan kepada bola sepak Kelantan.

Selain itu, Muzakkir yang juga Naib Presiden KAFA enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru proses pembelian pasukan The Red Warriors (TRW) oleh usahawan dan pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Difahamkan perbincangan antara kedua-dua pihak masih berlangsung dan sedang menilai berkaitan beberapa perkara.

Berita Harian X