Ahad, 23 Ogos 2020 | 12:53pm
Masih belum ada kata putus mengenai urusan pembelian pasukan TRW oleh Norizam dengan KAFA. - Foto NSTP
Masih belum ada kata putus mengenai urusan pembelian pasukan TRW oleh Norizam dengan KAFA. - Foto NSTP

KAFA, Norizam 'kunci mulut'

KUALA LUMPUR: Masih belum ada kata putus mengenai urusan pembelian pasukan The Red Warriors (TRW) oleh usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Terbaharu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengadakan perbincangan kali kedua di ibu negara bersama pengurusan tertinggi KAFA, kelmarin.

Namun, kedua-dua pihak seakan mengambil pendekatan 'kunci mulut' mengenai hasil perkembangan terbaharu daripada perbincangan itu.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika dihubungi BH Sukan semalam hanya menyifatkan perbincangan itu sebagai positif, namun enggan menjelaskan lebih lanjut sejauh mana proses pembelian itu sedang berlangsung.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Tak boleh komen lagi," kata Husin ringkas kepada BH Sukan menerusi aplikasi WhatsApp.

Difahamkan perbincangan KAFA dengan Zamsaham bagi urusan pembelian pasukan TRW masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad dicapai.

Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Husin ketika aksi UKM FC berdepan Kelantan di Selayang, semalam juga enggan mengulas lanjut kerana bimbang mengganggu perbincangan kedua-dua pihak.

Berita Harian X