Rabu, 12 Ogos 2020 | 5:24pm
Pemain Kelantan bergambar sebelum menentang Terengganu FC pada aksi persahabatan.
Pemain Kelantan bergambar sebelum menentang Terengganu FC pada aksi persahabatan.

Sudah hantar surat rasmi beli Kelantan

KUALA LUMPUR: Kesungguhan ditunjukkan usahawan dan pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman seakan memberi isyarat positif Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak lagi 'dipermain-mainkan'.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengakui pihaknya percaya dengan minat yang ditunjukkan Norizam selepas pembentangan yang dilakukan olehnya hasil pertemuan yang berlangsung kelmarin.

Jelasnya, KAFA sudah meminta kepada Norizam supaya dapat mengemukakan surat secara rasmi mengenai hasratnya untuk membeli pasukan bola sepak Kelantan selain beberapa perancangan serta syarat yang mahu diletakkan.

"Alhamdulillah, semua itu kita sudah terima hari ini (semalam), jadi memang kita nampak yang individu ini memang benar-benar serius dan tidak sekadar yang kita ketahui seperti sebelum ini menerusi berita atau laman media sosial.

"Kita sudah meneliti perancangan dan syarat daripada pihak Norizam. Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai ini tetapi kita rasa ia munasabah.

"Jadi, kita akan perhalusi dulu dan mengkaji semuanya supaya kedua-dua pihak mendapat jalan tengah yang terbaik.

"Dia amat profesional, berjumpa dengan kita dan bentangkan perancangannya kepada kita. Jadi, secara dasarnya, memang positif dan apa yang dilakukannya meyakinkan kami," katanya.

Terdahulu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjadi individu terbaharu yang menyatakan hasrat 'meminang' pasukan The Red Warriors (TRW) dan sudah mengadakan pertemuan dengan KAFA, kelmarin.

Beliau menjelaskan secara dasarnya berminat mengambil alih pengurusan TRW namun perlu memperhalusi beberapa perkara termasuk mengenai royalti RM1 juta setahun yang dicadangkan KAFA.

Selain itu, dia turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakannya mahu membeli pasukan TRW sekadar ingin meraih populariti.

Sebagai rekod, KAFA sebelum ini dilaporkan meletakkan 'tanda harga' RM3 juta dan royalti RM1 juta setahun kepada mana-mana pihak yang mahu membeli pasukan TRW itu.

Berita Harian X