Rabu, 12 Ogos 2020 | 3:03pm
Tindakan FIFA, AFC tangguh aksi kelayakan turut babitkan aksi skuad kebangsaan.
Tindakan FIFA, AFC tangguh aksi kelayakan turut babitkan aksi skuad kebangsaan.

Harimau Malaya 'goyang kaki' hingga hujung tahun

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekali lagi menangguhkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke tahun depan.

Keputusan dibuat dua badan bola sepak itu selepas mengambil kira perkembangan semasa membabitkan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Sebelum ini, FIFA memutuskan aksi kelayakan Piala Dunia akan berlangsung pada Oktober depan susulan penularan wabak berkenaan.

AFC menerusi satu kenyataan hari ini menjelaskan tarikh baharu bagi aksi kelayakan itu akan dimaklumkan kelak.

"Bertujuan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan semua pasukan, FIFA dan AFC akan terus bekerjasama memantau keadaan di rantau ini dengan teliti bagi mengenal pasti tarikh baru untuk aksi kelayakan," kata AFC.

Penundaan itu turut membabitkan aksi Harimau Malaya dalam Kumpulan G yang sebelum ini dijadualkan akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 8 Oktober depan, menentang Vietnam (13 Oktober) dan Thailand (17 November).

Berita Harian X