Selasa, 11 Ogos 2020 | 5:14pm
Norizam nafi mahu raih populariti. - Foto fail NSTP
Norizam nafi mahu raih populariti. - Foto fail NSTP

'Tunggu sarung cincin'

KUALA LUMPUR: Usahawan dan pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman menyifatkan hasil perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai proses membeli pasukan The Red Warriors (TRW), positif.

Beliau menjelaskan secara dasarnya berminat mengambil alih pengurusan TRW, namun perlu memperhalusi beberapa perkara termasuk mengenai royalti RM1 juta setahun yang dicadangkan KAFA.

Katanya, mesyuarat susulan juga akan diadakan sebelum hujung bulan ini sebagai langkah seterusnya dalam proses membeli TRW.

"Kedua-dua pihak positif, cuma kita nak bincang pasal hantaran dan bila nak sarung cincin. Belum ada apa-apa perjanjian yang ditandatangani, kita masih lagi memperhalusi perkara yang berkaitan dengan pengambilalihan pasukan.

"Secara dasarnya saya bersetuju (harga ditetapkan KAFA), cuma soal royalti kita kena perhalusi lagi. Katakanlah kalau pasukan tidak untung, saya perlu bayar royalti, kena bayar gaji lagi, fasiliti dan semua kos terbabit pun kena bayar," katanya kepada BH Sukan, semalam.

KAFA sebelum ini dilaporkan meletakkan 'tanda harga' RM3 juta dan royalti RM1 juta setahun kepada mana-mana pihak yang mahu membeli pasukan TRW itu.

Selain itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakannya mahu membeli pasukan TRW sekadar ingin meraih populariti.

Sebaliknya, usahawan dari Johor itu menjelaskan hasrat membeli skuad Pantai Timur adalah untuk membantu membangunkan lagi industri bola sepak, selain kagum dengan sikap kesetiaan yang dimiliki penyokong Kelantan.

"Saya nak perbetulkan tanggapan sesetengah pihak, saya bukan nak populariti. Saya berminat dengan Kelantan sebab kagum dengan peminat mereka, kerana dalam bola sepak kita perlukan penyokong yang setia.

"Kalau boleh, muka saya pun saya tak nak orang tengok. Tapi ini sebab saya sayangkan industri bola sepak dan sebagai usahawan, saya tak boleh tengok staf saya tiada gaji sampai tiga, empat bulan.

"Saya membantu bola sepak bukan hanya sekarang, saya sudah buat lima, enam tahun lalu termasuk memiliki pasukan bola sepak sendiri," katanya.

Berita Harian X