Isnin, 10 Ogos 2020 | 3:21pm
Nik Nazmi bersama skuad futsal wanita Setiawangsa Rangers FC.
Nik Nazmi bersama skuad futsal wanita Setiawangsa Rangers FC.

Setiawangsa Rangers FC tubuh skuad futsal wanita

KUALA LUMPUR. Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers (FC) mengorak langkah setapak lagi apabila menubuhkan skuad futsal wanita sekali gus memberi peluang kepada pasukan mendapat latihan yang lebih sistematik.

Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Penaung Setiawangsa Rangers FC, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penubuhan pasukan itu satu lagi sejarah kelab yang menyambut ulang tahun kedua, Sabtu lalu.

"Sebenarnya saya gembira kerana dalam tempoh dua tahun, kelab ini sudah mencapai beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan termasuk juara Liga AirAsia KL Junior.

"Malah, penubuhan skuad futsal wanita ini satu lagi kejayaan dalam usaha kita membantu pemain mendapat latihan secara formal dan saya harap pemain kelab ini satu hari nanti boleh mewakili Kuala Lumpur dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pasukan itu dan sambutan ulang tahun kedua kelab.

Sementara itu, Presiden Setiawangsa Rangers FC, Khushairi Aizad Jamalludin berkata, seramai 44 pemain sudah menyertai skuad futsal itu yang diketuai Nur Syamimi Atiqah Muhamed Baijuri.

"Kita gembira kerana penubuhan skuad ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 44 pemain terdiri daripada golongan belia sudah mendaftar.

"Ia satu perkembangan menggalakkan dan mereka sudah menjalani latihan setiap minggu. Kita harap apabila mereka sudah bersedia nanti, kita akan adakan aksi persahabatan dan menyertai kejohanan," katanya.

Berita Harian X