Jumaat, 7 Ogos 2020 | 7:34pm
Gambar fail, Amirul (nombor 14) mendengar arahan jurulatih Brad Maloney. - Foto FAM.org
Gambar fail, Amirul (nombor 14) mendengar arahan jurulatih Brad Maloney. - Foto FAM.org

Amirul impi beraksi bersama Real Madrid

PETALING JAYA: Kejayaan Luqman Hakim Shamsudin menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk menjadi inspirasi buat pemain muda lain untuk mengikut jejak langkahnya berhijrah ke luar negara.

Penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun, Amirul Akmal Safarinizam, 18, turut meluahkan impian besarnya untuk beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Malah, pemain dari Sungai Petani, Kedah itu menjelaskan tidak mustahil untuk dia mengejar impian itu, namun memerlukan kerja keras dalam meningkatkan tahap permainannya.

"Luqman menjadi inspirasi kepada negara dan kami semua. Cita-cita saya memang nak main di luar negara dan kalau boleh mahu bermain dengan Real Madrid.

"Saya minat Cristiano Ronaldo (bekas pemain Rela Madrid), saya nak jadi macam dia dan bermain dengan pemain berkelas dunia," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Selain itu, Amirul yang juga pemain skuad Piala Presiden Kedah mengakui ketiadaan Luqman yang akan berangkat ke Belgium minggu depan memberi peluang lebih besar untuk dia menunjukkan sesuatu kepada pengendali skaud B-19, Brad Maloney.

Katanya, dia akan menggunakan segala peluang yang ada untuk memikat hati Maloney untuk tersenarai dalam skuad akhir ke Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

"Saya harap dapat pergi ke sana (Uzbekistan) dan saya harap pasukan ini yang layak ke Piala Dunia B-20 tahun depan di Indonesia. Saya sedia galas tempat Luqman dan kalau boleh nak jadi penjaring terbanyak," katanya.

Berita Harian X