Khamis, 6 Ogos 2020 | 11:14am
PENGARAH SportsWork Group, Safirul Azli Abu Bakar.
PENGARAH SportsWork Group, Safirul Azli Abu Bakar.

Keputusan Wan Kamal ingin beli pasukan Kelantan tepat

KUALA LUMPUR: Hasrat bapa kepada pemain muda kebangsaan, Wan Ahmad Kuzain dan Wan Ahmad Kuzri, Prof Dr Wan Kamal Wan Napi untuk membeli pasukan Kelantan dilihat sebagai satu keputusan tepat dan kena pada masanya.

Pengarah SportsWork Group, Safirul Azli Abu Bakar berkata, kini sudah tiba masa bagi mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam pasukan Liga Malaysia (Liga M) berikutan ketika ini semua pasukan sedang dalam perancangan melaksanakan proses penswastaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) mengharapkan pihak yang mahu terbabit dalam pengurusan bola sepak memiliki perancangan jangka masa panjang bagi memastikan pasukan dapat terus beroperasi dengan lancar.

"Saya pasti semua pelabur termasuk Wan Kamal mempunyai objektif dan syarat mereka yang tersendiri. Walau apa pun objektif terbabit, harapan saya saya ialah mereka semua masuk untuk jangka masa panjang dan mempunyai perancangan untuk menjadi mampan.

"Dalam masa yang sama juga mereka perlu terangkan kepada peminat dan penyokong kelab yang bakal mereka miliki, tentang perancangan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Wan Kamal membuat kejutan apabila mengumumkan hasratnya untuk menjadi pemilik baharu pasukan The Red Warriors.

Kenyataan itu dibuat Wan Kamal menerusi akaun Twitter miliknya namun dia menegaskan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu 'mencuci' segala hutang yang ditanggung mereka sebelum mengambil alih pengurusan jaguh Pantai Timur itu.

"Saya berminat untuk membeli pasukan itu tetapi mereka perlu menyelesaikan hutang mereka terlebih dahulu.

"Saya mahu mengubah budaya dalam pemikiran pengurusan dan menyediakan pemain untuk masa depan dan pembangunan bola sepak," kata Wan Kamal seperti dilaporkan.

Berita Harian X