Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:18pm

'Saya serius beli Kelantan'

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Dr Wan Kamal Wan Napi tampak bukan 'main-main' mengenai hasratnya untuk membeli pasukan Kelantan.

Wan Kamal yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun akan mengkaji semua aspek terlebih dahulu sebelum memutuskan urusan pembelian The Red Warriors (TRW).

Malah, beliau menjelaskan kurang bersetuju dengan syarat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menetapkan bayaran royalti sebanyak RM1 juta setahun.

"Sudah tentu saya serius (mahu membeli pasukan Kelantan). Kami akan mengkaji dan menguji pasaran untuk melihat ia bernilai atau tidak.

"Namun, dengan (situasi penularan) COVID-19, RM1 juta (bayaran royalti) kepada KAFA setiap tahun adalah terlalu tinggi," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Semalam, Wan Kamal dilaporkan boleh menjadi 'penyelamat' bola sepak Kelantan apabila menyatakan minat menjadi pemilik baharu pasukan itu menerusi ciapannya di laman sosial Twitter.

Beliau bagaimanapun menegaskan KAFA perlu 'mencuci' segala hutang yang ditanggung pasukan itu sebelum dia mengambil alih pengurusan pasukan TRW.

Selain itu KAFA dilaporkan meletakkan nilai pembelian RM3 juta dan royalti tahunan RM1 juta kepada Wan Kamal atau mana-mana pihak yang berminat membeli pasukan itu.

BH Sukan hari ini melaporkan laman sesawang bola sepak terkenal, Transfermarkt meletakkan nilai semasa keseluruhan pasaran skuad TRW sekitar 675,000 euro (RM3.36 juta).

Berita Harian X