Rabu, 5 Ogos 2020 | 5:34pm

Minat Wan Kamal beli Kelantan timbul pelbagai reaksi

KUALA LUMPUR: Tindakan bapa kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Prof Dr Wan Kamal Napi yang menyatakan minat untuk membeli pasukan Kelantan jelas menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya penyokong pasukan itu.

Ada yang menyifatkan langkah itu sebagai satu perkembangan positif untuk membantu bola sepak Kelantan, dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga mewajibkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) diswastakan dan bertukar status daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab (FC).

Bagaimanapun, tidak kurang juga ada yang mencemuh langkah itu dan melihat ia sebagai satu tindakan yang 'membazir' selain ada yang turut mempersoalkan keikhlasan Wan Kamal untuk memenuhi hasratnya itu.

Reaksi berbeza itu dapat disaksikan menerusi komen pelayar di laman sosial Facebook selepas berita mengenai perkara itu disiarkan menerusi Berita Harian Online dengan tajuk 'Bapa Wan Kuzain mahu beli Kelantan.'

Ju Deen mengakui keputusan itu sebagai langkah yang tepat apatah lagi anak jati negeri itu yang akan menghulurkan bantuan selepas pasukan itu berterusan menghadapi pelbagai kemelut sehingga terbaru, dipotong tiga mata dalam aksi Liga Perdana.

"Ok la tu anak kelantan nak bantu pasukan negeri. Dah lama sgt berkelana di negara org. Rindu nak berbakti negeri kelahiran," kata Ju Deen.

Couelin Dhia pula berkata 'fuhh..terbaik..baru meriah bola kat Malaysia' sementara Abglan Muhamad berkata 'oklah tu..mana tau dpt memperkasakan pasukan..rancak sikit bola di msia ni.'

Bagaimanapun, Fadli Muhsin tampak tidak bersetuju dengan pendekatan Wan Kamal yang mahu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) supaya menyelesaikan dahulu hutang mereka sebelum dia mengambil alih pengurusan pasukan.

'Mana boleh Wan Kamal oi..nak janda, anak kena jaga sekali laa hihihi," kata Fadli.

Manakala Ahmad Lutfi Abd Ghani pula berkata 'beli team siap pakej liabiliti. Kalau nak team takde hutang create la team baru oi acik wan' dan Zainuddin Sukor pula berkata 'simpan je le duit tu, kalau ya pun banyak sangat. Ini Liga Malaysia bukannya Liga Inggeris.'

Rudy Kurniawan Muhyi turut berpandangan sama apabila berkata 'Roman Abramovic beli Chelsea dgn hutang sekali, klu ikhlas nak beli terima sajalah.'

Setakat jam 2 petang semalam, hantaran di Berita Harian Online itu mendapat lebih 5,600 tanda suka, hampir 800 komen dan lebih 170 perkongsian.

Berita Harian X