Selasa, 4 Ogos 2020 | 2:41pm

Bapa Wan Kuzain mahu beli Kelantan

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Wan Kamal Wan Napi tampak bersedia menjadi 'penyelamat' bola sepak Kelantan apabila menyatakan minat menjadi pemilik baharu pasukan itu.

Perkembangan terbabit dikongsikan Wan Kamal menerusi ciapannya di laman sosial Twitter, hari ini.

Bagaimanapun, Wan Kamal menegaskan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu 'mencuci' segala hutang yang ditanggung pasukan itu sebelum dia mengambil alih pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW).

"Saya berminat untuk membeli pasukan itu tetapi mereka perlu menyelesaikan hutang mereka terlebih dahulu.

"Saya mahu mengubah budaya dalam pemikiran pengurusan dan menyediakan pemain untuk masa depan dan pembangunan bola sepak," kata Wan Kamal.

Sementara itu, perkembangan terbabit jelas disambut baik Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman dan pihaknya akan berhubung dengan Wan Kamal untuk membincangkan mengenai perkara itu dengan lebih lanjut.

Jelasnya, seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, penaja baharu KAFA tidak perlu menanggung hutang lampau dan sebaliknya hanya fokus pada kewangan semasa.

"Dia boleh tumpu sepenuhnya kepada kelab saja manakala KAFA akan beri fokus kepada pembangunan dan hutang lapuk untuk diselesaikan.

"Memang kehadiran dia tepat pada masa dan ia akan banyak membantu serta menyelamatkan pasukan Kelantan," katanya.

Berita Harian X