Isnin, 20 Julai 2020 | 8:19pm
Aksi Aiman (kiri) ketika latihan pusat skuad B-19 negara di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
Aksi Aiman (kiri) ketika latihan pusat skuad B-19 negara di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.

'Budak Tebing' tak gentar Wan Kuzri

KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Mohd Aiman Afif Md Afizul mengakui Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal boleh dijadikan sebagai 'bahan' buat pemain lain belajar sesuatu yang baharu.

Justeru, pemain muda Kedah itu yang sinonim dengan gelaran 'Budak Tebing' menganggap kehadiran Wan Ahmad Kuzri yang berpangkalan di Amerika Syarikat memberikan cabaran buat dirinya terutama dalam misi merebut tempat di bahagian tengah.

"Kehadiran Wan Kuzri dapat bagi persaingan sihat kepada semua pemain, bukan saya seorang sahaja. Jadi, saya cuma nak buktikan yang terbaik.

"Sudah pasti saya rasa tercabar (dengan kehadiran Wan Kuzri), tapi saya akan buat sehabis baik. Wan Kuzri seorang pemain yang sangat baik.

"Dia mempunyai teknik yang bagus, jadi pemain lain pun boleh belajar dengan dia. Matlamat utama saya nak berada dalam skuad ini dan membantu pasukan layak ke Piala Dunia (B-20)," katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan jurulatih skuad B-19, Brad Maloney menegaskan pemilihan Wan Ahmad Kuzri adalah berdasarkan prestasi dan bakat yang dimiliki, bukannya atas pengaruh abangnya Wan Ahmad Fayhsal sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Selain itu, Maloney mengesahkan menggugurkan empat daripada 35 pemain yang menyertai latihan pusat ketika ini selepas tidak mencapai tahap kecergasan yang diinginkan.

Empat pemain itu termasuk penjaga gol, Mohd Azlizan Mohd Azlan, Mohammad Nazemizan Naslon, Mohammad Zarif Syamil Mohammad Zaman dan Abdul Raziq Abdul Rahim.

Seorang lagi pemain, Mohd Nasip Mohammad Zain diberi pelepasan selepas ibunya meninggal dunia dan Maloney turut memanggil seorang pemain baharu dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Berita Harian X