Isnin, 20 Julai 2020 | 2:05pm
Wan Fayhsal (depan, kiri) bertemu dengan adiknya, Wan Kuzri (kanan) pada Kem Latihan Pusat Skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selasa lalu. - FOTO BERNAMA
Wan Fayhsal (depan, kiri) bertemu dengan adiknya, Wan Kuzri (kanan) pada Kem Latihan Pusat Skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selasa lalu. - FOTO BERNAMA

'Wan Kuzri berbakat, bukan sebab adik timbalan menteri'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Brad Maloney menegaskan pemilihan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal menyertai latihan pusat berdasarkan prestasi dan bakat dimilikinya.

Ia sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat itu terpilih kerana pengaruh abangnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selaku Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Malah, selepas empat hari Wan Ahmad Kuzri menyertai latihan bersama skuad negara, Maloney berkata pemain tengah berusia 18 tahun itu dilihat mampu menjadi aset berharga buat skuad B-19.

"Wan Kuzri kelihatan baik. Dia menunjukkan persembahan yang bagus setakat ini apabila mengambil kira terpaksa menjalani proses kuarantin selama 14 hari dengan dia tidak boleh berlatih dan menyentuh bola dalam masa yang lama.

"Setakat ini dia berjaya menyesuaikan diri dengan baik dalam pasukan dan saya fikir dia boleh menjadi aset berharga untuk skuad ini.

"Kami memantaunya dengan baik sebelum saya menyedari dia adalah adik kepada Timbalan Menteri. Jadi, tiada keraguan yang dia berada di sini (dalam pasukan) kerana merit berdasarkan bakatnya sendiri," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan tiada keistimewaan diberikan kepada adiknya, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih dalam membuat penilaian terbaik.

BH Sukan semalam turut melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak amalan dwistandard, mengambil jalan pintas mahupun melanggar peraturan dan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memilih pemain untuk menganggotai pasukan kebangsaan.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu sama sekali tidak akan melanggar peraturan sedia ada, sama ada dari sudut SOP, proses dokumentasi yang ditetapkan kerajaan dan proses dalaman FAM semata-mata untuk memenuhi hasrat mana-mana individu.

Malah, Wan Ahmad Kuzri juga sudah menyatakan kesediaannya membuktikan kemampuan untuk memikat hati Maloney dan berada dalam skuad akhir ke Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Maloney turut teruja dengan berita penyerang skuad B-19, Luqman Hakim Shamsudin dicalonkan antara 80 pemain muda terbaik dunia bagi anugerah Golden Boy 2020 oleh portal media digital Belanda, 433.

"Sungguh luar biasa Luqman dikenali syarikat elit seperti itu, terutama sekali dia baru berusia 18 tahun. Pencalonan ini penghargaan besar bagi pemain muda," katanya.

Berita Harian X