Jumaat, 17 Julai 2020 | 7:05pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal meninjau penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal meninjau penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA

Tiada keistimewaan buat adik timbalan menteri

SEPANG: Tiada keistimewaan buat pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, walaupun statusnya sebagai adik kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis itu, perlu membuktikan kebolehannya bersaing dengan 34 pemain lain dalam kem latihan pusat di Wisma FAM untuk mendapatkan tempat ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Bawah 19 tahun (B-19).

"Saya serahkan sepenuhnya kepada jurulatih (Brad Maloney) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk menentukan kedudukan beliau. Tidak bermakna beliau adik timbalan menteri, beliau ada kelebihan untuk dipilih.

"Saya yakin dengan kemampuan beliau sebagai pemain yang datang dari AS untuk menyumbang kepada skuad B-19 negara," katanya pada sidang media selepas meninjau penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Antarabangsa Sepang di sini, hari ini.

Wan Kuzri, 18, yang juga adik kepada seorang lagi pemain sensasi yang beraksi untuk pasukan Sporting Kansas City di AS, Wan Kuzain, memulakan latihan bersama skuad bimbingan Maloney semalam, selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari dan diuji negatif COVID-19 dalam dua ujian swab sejak pulang dari negara itu.

Kejohanan AFC B-19 2020, yang dijadual berlangsung dari 14-31 Oktober di Uzbekistan adalah pusingan kelayakan Piala Dunia Bawah 20, di Indonesia pada 2021.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yaman, menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama secara merit.

-- BERNAMA

Berita Harian X