Khamis, 16 Julai 2020 | 8:31pm
Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Ahmad Kuzri ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini. - Foto BERNAMA
Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Ahmad Kuzri ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini. - Foto BERNAMA

'Dorongan utama dari adik sendiri'

KELANA JAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui beliau dan ayahnya turut memainkan peranan dalam meyakinkan adiknya, Wan Ahmad Kuzri menyertai kem latihan bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan dorongan terbesar menyertai skuad kendalian Brad Maloney adalah datang daripada keinginan Wan Ahmad Kuzri sendiri yang mahu membantu pasukan negara dalam Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini.

"Nak kata peranan itu mungkin ada sedikit menerusi perbualan saya dengan ayah, tapi saya rasa dorongan utama daripada dia (Wan Kuzri) sendiri.

"Ayah pun tidak memaksa, memang dia terpanggil untuk bermain bersama skuad kebangsaan dan ini satu petanda baik buat masa depan bola sepak negara. Kita doakan dia kekal bersama.

"Adik saya hanya salah seorang daripada pemain yang berada dalam latihan. Jadi saya rasa kita perlu beri dorongan kepada semua pemain dan mereka perlu bersaing secara sihat untuk mendapatkan tempat," katanya ketika hadir meninjau latihan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Wan Ahmad Kuzri, 18, yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menyertai latihan bersama skuad muda negara buat kali pertama, hari ini selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau secara dekat perkembangan situasi COVID-19 di Uzbekistan.

"Jika benar keadaan amat darurat kita akan tunggu pendapat dan saranan daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) sendiri berkenaan pembabitan atlet kita di luar negara.

"KBS sentiasa beri keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan atlet. Kita akan pantau secara dekat perkembangan di Uzbekistan," katanya.

Berita Harian X