Selasa, 14 Julai 2020 | 8:46am
Pertahanan Inter Milan, Diego Godin (kiri) menghalang pemain Torino, Ola Aina pada perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pertahanan Inter Milan, Diego Godin (kiri) menghalang pemain Torino, Ola Aina pada perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto AFP

Inter melonjak ke tangga kedua Serie A

ROM: Inter Milan meletakkan sebelah kaki ke Liga Juara-Juara musim depan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasukan bergelut dengan penyingkiran, Torino 3-1 dan naik ke tangga kedua Serie A.

Skuad kendalian Antonio Conte itu kini di atas Atalanta dan Lazio, lapan mata di belakang pendahulu Juventus hasil dua gol awal babak kedua Ashley Young dan Diego Godin serta Lautaro Martinez selepas sejam permainan.

Kelab dari Milan itu kini sama 68 mata dengan Lazio, yang tewas 2-1 kepada Sassuolo Sabtu lalu dan satu mata di depan Atalanta di tangga keempat.

Bagaimanapun, ketika mereka sukar meraih gelaran liga sejak 2010, perkara paling penting buat Inter ialah jurang 14 mata antara mereka dan pasukan tangga kelima, Roma berbaki enam perlawanan.

"Adalah penting untuk menang perlawanan seperti ini dengan apa cara sekalipun... saya rasa kami memang berhak menang," kata Godin kepada Sky Sport Itali.

"Kami kini kedua dan kami mahu terus menang... mari lihat di mana kami akan menamatkannya, tapi sukar untuk menghampiri Juventus."

Torino sementara itu masih perlu berusaha selepas mengalami kekalahan keempat sejak liga kembali bersambung bulan lalu.

Skuad kendalian Moreno Longo kini di kedudukan ke-16, lima mata di atas zon penyingkiran dan akan berdepan Genoa awal pagi Jumaat ini waktu Malaysia.

- AFP

Penyerang Torino, Andrea Belotti (tengah) bersaing dengan pertahanan Inter Milan, Marcelo Brozovic pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Torino, Andrea Belotti (tengah) bersaing dengan pertahanan Inter Milan, Marcelo Brozovic pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X