Rabu, 8 Julai 2020 | 5:51pm
Fahysal yakin Kuzri (gambar) mampu serasi dengan pasukan.
Fahysal yakin Kuzri (gambar) mampu serasi dengan pasukan.

Fahysal optimis adik mampu julang skuad B-19

PUTRAJAYA: Karakter dimiliki pemain Akademi Bolasepak St Louis, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal mungkin boleh menjadi 'senjata' terbaik dalam usaha pemain itu mencuri tumpuan dan memikat barisan kejurulatihan skuad Bawah 19 tahun (B-19).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga abang Kuzri berkata, adiknya itu yang beraksi di Amerika Syarikat mampu menjadi aset bola sepak negara dan dia jelas mendapat penerimaan yang baik daripada pengurusan dan kejurulatihan skuad B-19.

"Berdasarkan penerangan pengurus pasukan B-19 (Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar), Kuzri memiliki karakter seperti pemain import dan ketinggiannya seperti saya. Daripada segi permainan, memang dia ada disiplin kerana membesar dalam suasana Amerika Syarikat.

"Malah jurulatih, Brad Maloney pun nampak seperti mahu Kuzri datang untuk bersama pemain yang lain. Jadi, saya harap ada masa yang cukup baik untuk dia serasi dengan pasukan," katanya selepas pertemuan bersama Khalid Jamlus di Putrajaya, hari ini.

Sebagai rekod, Kuzri adalah antara dua muka baharu selain Muhammad Adam Nadzmi Zamri (Akademi Bolasepak BISP Cruzeiro) yang dipanggil Brad untuk kem latihan skuad B-19 sebagai persiapan awal bagi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober ini.

Bagaimanapun, hanya Adam yang melapor diri pada hari pertama kelmarin kerana Kuzri hanya akan menyertai pasukan selepas selesai menjalani kuarantin.

Dalam masa sama, Fayhsal menjelaskan tiada pengecualian untuk Kuzri di mana dia tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan menjalani kuarantin terlebih dahulu.

"Difahamkan, Kuzri menjalani tiga ujian calitan iaitu dua di Amerika Syarikat dan sekali selepas dia tiba di sini. Jadi daripada segi itu, rasanya dia bebas COVID-19.

"Tetapi kita perlu patuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X