Rabu, 8 Julai 2020 | 7:36am
Ibrahimovic (kiri) cemerlang bantu pasukannya bangkit atasi skuad Old Lady, 4-2 dalam aksi sengit di laman sendiri. - Foto AFP
Ibrahimovic (kiri) cemerlang bantu pasukannya bangkit atasi skuad Old Lady, 4-2 dalam aksi sengit di laman sendiri. - Foto AFP

Milan kejutkan Juventus

MILAN: Juventus mensia-siakan peluang untuk mencipta jurang 10 mata di persada Serie A ketika juara bertahan itu melepaskan kelebihan dua gol sebelum tewas 4-2 berdepan pasukan diketuai Zlatan Ibrahimovic, AC Milan sebentar tadi, selepas pasukan tangga kedua, Lazio kalah mengejut di Lecce.

Skuad kendalian Maurizio Sarri mendahului menerusi gol Adrien Rabiot dan Cristiano Ronaldo pada awal babak kedua tetapi diatasi persembahan hebat Milan ketika Ibrahimovic meledak jaringan dan juga menghasilkan satu bantuan gol.

Jurulatih Milan, Stefano Pioli, yang dilaporkan akan dipecat pada penamat musim, menyaksikan pasukannya mendapat tonik tambahan dalam harapan layak ke Eropah dengan naik di atas Roma dan Napoli ke tangga kelima.

"Saya tidak memikirkan mengenai 3 Ogos atau masa depan. Saya hanya memikirkan perlawanan seterusnya," kata Pioli kepada DAZN.

Cristiano Ronaldo (kiri) cuba dihalang pemain pertahanan AC Milan, Andrea Conti dalam aksi Serie A di San Siro. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo (kiri) cuba dihalang pemain pertahanan AC Milan, Andrea Conti dalam aksi Serie A di San Siro. - Foto AFP

"Ada ketikanya kami melalui tempoh yang mencabar, tapi saya suka apa yang saya lakukan."

Juve berada di landasan tepat untuk gelaran kesembilan berturut-turut, tujuh mata di depan Lazio berbaki tujuh perlawanan.

Kekalahan itu merencatkan tujuh kemenangan berturut-turut gergasi Turin itu dalam liga. - AFP

Berita Harian X