Isnin, 6 Julai 2020 | 9:10am
Pemain tengah skuad bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan, Zachry Raiff Ghazie Yeoh.
Pemain tengah skuad bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan, Zachry Raiff Ghazie Yeoh.

Zachry pertaruh pengalaman dari England

KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan, Zachry Raiff Ghazie Yeoh sedia menggunakan pengalaman beraksi bersama Brooke House Football Academy untuk memikat hati jurulatih Brad Maloney.

Dia yang menyertai akademi berpangkalan di England sejak 2018, menaruh impian besar untuk berada dalam senarai akhir skuad yang akan menggalas tugas di Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober ini.

Menyedari bakal berdepan saingan sengit merebut tempat dalam skuad negara, Zachry bagaimanapun sedia bekerja keras menjelang sesi latihan pusat yang akan bermula hari ini dalam usaha memastikan namanya berada dalam pilihan Maloney.

"Saya sangat gembira, bermotivasi dan bersyukur ketika melihat nama saya dalam senarai 35 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat. Saya sudah berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan untuk panggilan ini.

"Bermain bola sepak di luar negara memberi kelebihan kepada saya dan juga pasukan kerana saya dapat bermain dengan pemain bertaraf antarabangsa dari negara yang mempunyai ranking tinggi dengan gaya permainan berbeza.

"Oleh itu, saya mendapat pengalaman yang terbaik untuk bermain secara pelbagai dan juga kekuatan mental yang akan membantu pasukan dalam pertandingan antarabangsa.

"Insya-Allah dengan pengalaman, kekuatan mental dan fizikal, saya dapat bersaing dengan pemain yang lain untuk merebut tempat dalam skuad B-19," katanya kepada BH Sukan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata keputusan Maloney memanggil Zachry dan beberapa pemain lain yang beraksi di luar negara membuktikan barisan kejurulatihan skuad B-19 peka dan membuat pemantauan secara menyeluruh terhadap bakat pemain muda negara.

Faidauz yang juga ejen kepada Zachry dan seorang lagi pemain B-19 yang beraksi di luar negara, Muhammad Adam Nadzmi berkata beliau sentiasa berkongsi perkembangan terkini pemain berkenaan termasuk menerusi video kepada barisan kejurulatihan skuad negara.

Muhammad Adam yang berpangkalan di Thailand bersama Cruzeiro Academy dipanggil buat kali pertama oleh Maloney untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan B-19.

Berita Harian X