Ahad, 5 Julai 2020 | 10:42pm
PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC) berusia 19 tahun, Muhammad Azam Azmi Murad. - Foto Ihsan TFC.
PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC) berusia 19 tahun, Muhammad Azam Azmi Murad. - Foto Ihsan TFC.

Azam tekad pikat Maloney

KUALA TERENGGANU: Pemain muda sedang meningkat, Muhammad Azam Azmi Murad tekad merebut tempat dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Bawah-19 (B-19) AFC 2020 di Uzbekistan, bermula 14 Oktober ini.

Pemain tengah Terengganu FC (TFC) berusia 19 tahun itu yang menyinar bersama skuad kebangsaan tahun lalu juga berazam untuk meledak gol jika diberi peluang jurulatih, Brad Maloney menyarung jersi skuad kebangsaan.

Pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja tahun lalu, Azam berjaya menjaringkan satu gol ketika pasukan negara menumpaskan Australia 3-0 sebelum menambah dua gol peribadi lagi ketika membelasah Brunei 11-0.

"Sudah tentu saya gembira dipanggil menjalani latihan pusat bersama kem pasukan negara lebih-lebih lagi selepas berehat panjang bagi mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tekad mahu rebut slot dalam skuad kebangsaan walaupun sedar bukan mudah untuk memikat Maloney kerana saingan sudah pasti lebih sengit dengan beberapa pemain baharu dipanggil," kata Azam.

Selain Azam, dua lagi pemain skuad Penyu yang mendapat panggilan menjalani latihan pusat adalah penjaga gol utama, Muhammad Rahadiazli Rahalim dan pemain sayap, Muslihuddin Atiq Mat Zahid.

Skuad Harimau Muda kendalian Maloney akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan pada 16 Oktober disusuli Qatar, 19 Oktober dan Yaman pada 22 Oktober.

Berita Harian X