Sabtu, 4 Julai 2020 | 12:35pm
Pemain Akademi Bolasepak BISP Cruizero, Muhammad Adam Nadzmi Zamri.
Pemain Akademi Bolasepak BISP Cruizero, Muhammad Adam Nadzmi Zamri.

Adam tak mahu putih mata lagi

KUALA LUMPUR: Kekecewaan terlepas peluang beraksi bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) sebelum ini jelas masih berbekas dalam hati Muhammad Adam Nadzmi Zamri dan kali ini dia tidak lagi mahu berputih mata.

Justeru, pemain Akademi Bolasepak BISP Cruizero yang berpangkalan di Thailand itu bertekad memberikan 100 peratus komitmen selepas dipanggil menjalani kem latihan pusat selama tiga minggu yang bermula, Isnin ini.

"Sudah tentu perkara utama adalah memikat hati barisan kejurulatihan dengan mempamerkan aksi terbaik supaya terpilih dalam kesebelasan utama.

"Saya mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini terutama apabila terlepas peluang mewakili skuad berkenaan pada tahun lalu kerana cedera. Tetapi kali ini, saya sudah bersedia sepenuhnya.

"Walaupun sudah berada di Malaysia sejak April lalu, saya tetap menjalani latihan ringan dan mengikut segala tunjuk ajar daripada jurulatih akademi untuk mengekalkan prestasi," katanya.

Sebagai rekod, pemain yang beraksi selaku penyerang itu adalah dua muka baharu yang dipanggil pengendali skuad B-19, Brad Maloney bagi kem latihan pusat kali ini.

Selain Adam, seorang lagi pemain adalah pemain yang beraksi bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal yang juga adik kepada Wan Kuzain yang sebelum ini pernah menyertai kem latihan skuad B-23.

Terdahulu, kem latihan pusat ini sebagai persiapan awal menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 yang berlangsung di Uzbekistan, Oktober ini.

Berita Harian X