Rabu, 1 Julai 2020 | 8:24pm
Ozil belum beraksi sejak 'Project Restart' bermula.
Ozil belum beraksi sejak 'Project Restart' bermula.

Ozil dilabel 'pemain terburuk di dunia'

LONDON: Paul Merson melabel Mesut Ozil sebagai salah seorang 'pemain terburuk di dunia' ketika tanpa bola sambil mempertikai tindakan Arsenal membayar £350,000 (RM1.8 juta) seminggu kepada pemain Jerman itu.

Ozil belum kelihatan di padang sejak 'Project Restart' dan Merson yang juga bekas pemain skuad The Gunners berkata demikian ketika memberi pendapat mengenai pemain berusia 31 tahun itu.

Pengulas TV berusia 52 tahun itu percaya Ozil tidak lagi sesuai untuk kelab itu dan tidak bekerja keras dalam mempertahankan tempatnya daripada diisi pemain lain.

Merson berkata kepada Sky Sports: "Saya rasa Ozil contoh utama pemain yang harus bermain dalam pasukan yang tepat. Ia akan menjadi perkara yang bagus di sana, mendominasi permainan bola sepak. Dia harus bermain dalam pasukan yang berjaya.

"Dia tidak boleh bermain dalam pasukan Arsenal, sebabnya: dia tidak akan mengubah permainannya yang ketika ini pada usia 30-an, dan Arsenal tidak akan mengubah permainan mereka untuk dia.

"Dia tidak mengejar dari belakang, mengejar pemain, dan kamu memerlukannya dalam satu pasukan yang mana kamu mendapat 70 peratus (penguasaan) bola setiap minggu, dan dia akan bermain."

Arsenal membelanjakan RM1.8 juta seminggu untuk membayar gaji Ozil, satu perkara yang menyebabkan Merson kesal.

"Dia tidak menarik ketika mereka tidak memiliki bola. Bagaimana anda dapat memberi seseorang RM1.8 juta seminggu jika kita semua tahu itu gaya permainannya?

"Jika tidak mendapat bola, dia adalah salah seorang pemain terburuk di dunia! Saya perlu mengatakannya. Namakan saya pemain yang lebih teruk di dunia ketika pasukan mereka tidak memiliki bola," soalnya. - AGENSI

Berita Harian X