Ahad, 28 Jun 2020 | 6:17pm
WAN Kuzri Wan Kamal.
WAN Kuzri Wan Kamal.

FAM dalam proses akhir bawa pulang Wan Kuzri

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan dalam proses akhir untuk membawa pulang pemain yang kini beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Kamal untuk di serap ke dalam skuad bawah 19 (B-19) tahun negara.

Pengurus Pasukan B-19 kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menjelaskan usaha itu adalah bagi memantapkan lagi skuad terbabit untuk menghadapi Kejohanan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini.

Katanya, barisan kejurulatihan skuad B-19 yang diketuai Brad Maloney memantau rapat perkembangan Wan Kuzri termasuk berhubung dengan jurulatih kelab yang diwakili di AS.

"Dia (Wan Kuzri) berada dalam senarai 35 pemain yang akan dipanggil dan dia dalam proses dokumentasi terakhir untuk kami terbangkan segera ke Kuala Lumpur dan menyertai latihan skuad B-19 bagi mengaharungi kejohanan AFC.

"Kami amat memerlukan dia untuk menambah kekuatan pasukan. Dia amat berminat dan tidak timbul soal dua warga negara kerana kita sedia maklum hanya selepas umur 21 tahun, dia berhak memilih sama ada untuk mewakili Malaysia atau kembali ke AS," katanya.

Wan Kuzri, 18, adalah adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bolasepak Utama (Major League Soccer) AS, Sporting Kansas City.

Dalam perkembangan sama, Kamarul menjangkakan latihan pusat skuad B-19 akan dimulakan dalam masa terdekat selepas segala persiapan termasuk dari aspek prosedur operasi standard (SOP) lengkap sepenuhnya.

"Sehari, dua lagi kami akan mengeluarkan senarai pemain dan minggu depan akan memulakan latihan pertama. Buat masa ini tiada masalah, cuma kami mahu mengemaskini SOP untuk memulakan latihan.

"Kami tak nak benda itu menimbulkan masalah di kemudian hari dan kami nak semua yang datang menyertai latihan berada dalam keadaan yang amat baik.

"Ia kerana skuad ini akan bertanding di peringkat Piala Asia dan untuk layak ke Piala Dunia. Jadi kita nak persiapan yang rapi kerana sebelum ini kita sudah ketinggalan kerana COVID-19," katanya.

Berita Harian X