Ahad, 28 Jun 2020 | 12:46pm
Jurgen Klopp bawa Liverpool raih kejayaan berprestij. - Foto AFP
Jurgen Klopp bawa Liverpool raih kejayaan berprestij. - Foto AFP

Musim gemilang Liverpool tiada tandingan

KOLUM APA KATA EPL

Tahniah diucapkan kepada kelab Liverpool dan penyokong mereka termasuk di Malaysia atas kejayaan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL). Kesabaran menanti kira-kira 30 tahun untuk gelaran berprestij itu sememangnya berbaloi.

The Reds dinobatkan secara rasmi sebagai juara EPL musim 2019-2020 selepas Manchester City selaku pesaing terdekat tidak lagi dapat memintas biarpun memenangi semua baki tujuh perlawanan. Selepas 31 aksi, The Reds menghimpun 86 mata, kelebihan 23 mata ke atas City.

Penyokong Liverpool meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/20. - Foto AFP
Penyokong Liverpool meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/20. - Foto AFP

Ini adalah gelaran ke-19 buat Liverpool dalam saingan liga utama bola sepak Inggeris sejak 1889, kedua terbanyak selepas Manchester United yang unggul dengan 20 kejuaraan. Kelab lain yang turut banyak merangkul gelaran ini adalah Arsenal (13), Everton (9), Aston Villa (7), Sunderland (6), Chelsea (6) dan City (6).

Sepanjang beberapa hari ini keseronokan penyokong The Reds dapat dilihat di mana-mana termasuk di luar Anfield bagi meraikan kejayaan itu sebaik kejuaraan disahkan. Suasana itu turut dirasai di negara kita dengan perasaan gembira itu turut dikongsi menerusi media sosial.

Setakat ini belum ada perkhabaran rasmi mengenai tarikh penyampaian piala dan perarakan akan diadakan. Tapi mengikut laporan awal, ia mungkin awal musim depan susulan penularan COVID-19.

Awal pagi Jumaat ini, Jurgen Klopp akan membawa pasukannya ke Etihad bertemu City bagi aksi ke-32, sebelum menyambut Aston Villa pada 5 Julai. City mungkin bagi penghormatan kepada juara baru itu pada aksi tanpa penonton.

Selain EPL, Liverpool musim ini turut memenangi Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab. Musim lalu, mereka merangkul mahkota Liga Juara-Juara bagi melengkapkan musim gemilang di bawah bimbingan Klopp dan sudah pasti pencapaian hebat ini akan diteruskan lagi.

Dengan gelaran juara sudah menjadi milik The Reds, perhatian saingan EPL kini beralih kepada perebutan ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Empat pasukan terbaik akan layak secara automatik setiap musim dengan satu tempat menjadi milik The Reds.

City, Leicester dan Chelsea dilihat memiliki peluang lebih baik apabila masing-masing menduduki tangga kedua, ketiga dan keempat ketika ini. Pun begitu skuad bimbingan Pep Guardiola tidak layak musim depan selepas didapati bersalah melanggar Fair Play Kewangan.

The Citizens sudah merayu keputusan itu dan kini menanti keputusannya.

Perkembangan itu sekali gus memberi sinar kepada kelab di tangga ke lima ke atas iaitu Manchester United, Wolves, Tottenham Hotspur dan Sheffield untuk merebut satu lagi slot itu sambil berharap Leicester dan The Blues akan keciciran mata untuk baki tujuh aksi lagi.

Bagi perlawanan seminggu akan datang, aksi sengit dijangka berlaku membabitkan semua pasukan. Leicester akan berkunjung ke Goodison Park awal pagi Khamis ini dengan harapan mengutip mata penuh bertemu Everton, namun ia bukanlah tugas mudah kerana lawannya juga mahu menang untuk layak ke pentas Liga Europa.

Chelsea turut berdepan situasi sama apabila bertandang ke West Ham pada hari sama. Lawannya itu kini hampir memasuki zon penyingkiran. Leicester dan The Blues ketika ini hanya dipisahkan satu mata.

United pula bertandang ke Brighton dengan harapan untuk mencatat lagi satu kemenangan selepas hatrik Anthony Martial membenam Sheffield United bagi mengubat kecewa diikat Tottenham pada aksi pertama sebaik liga disambung semula. Selamat menonton

Ramalan Minggu ke-32

Watford 1 Southampton 1

C Palace 1 Burnley 1

Brighton 1 Man United 3

Bournemouth 1 Newcastle 1

Everton 1 Leicester 1

Arsenal 3 Norwich 0

West Ham 1 Chelsea 1

Sheffield 1 Tottenham 2

Man City 1 Liverpool 1

Berita Harian X